comscore
Tumpuan :
Nasional

Video tular bangkai haiwan dalam peti sejuk, disahkan kes lama – DVS Pulau Pinang

Foto tular

GEORGE TOWN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Pulau Pinang mengesahkan video penemuan bangkai kucing dan anjing yang disimpan dalam peti sejuk di Paya Terubong, di sini, adalah kes lama yang ditularkan semula baru-baru ini.

Pengarah DVS Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pihaknya pernah menerima laporan berhubung penemuan itu pada 9 Ogos lalu dan 12 Julai 2022.

Bedah siasat untuk mengetahui punca kematian haiwan itu juga sudah dijalankan.

“Persampelan karkas dibuat semasa kedua-dua aduan diterima dan keputusan bedah siasat pada tahun 2022 mendapati kematian disebabkan semula jadi dan tiada unsur penganiayaan.

“Namun, keputusan bedah siasat terkini tidak dapat dilakukan kerana karkas sudah autolisis iaitu tisu badan mula hancur secara semula jadi akibat tindakan enzim dalam tubuh selepas kematian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dr Saira Banu mengulas klip video tular berdurasi tiga minit 40 saat memaparkan beberapa bangkai kucing dan anjing yang berada dalam plastik secara berasingan, disimpan dalam peti sejuk beku di sebuah premis.

Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan kembali rakaman video itu kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat terutamanya pencinta haiwan.

Sebelum ini, seorang pemilik akaun TikTok yang memuat naik video itu mendakwa dia menemui bangkai haiwan itu di rumah jirannya di Paya Terubong di sini, ketika mahu memeriksa keadaan dua kanak-kanak yang juga anak angkat jiran berkenaan yang sering mengadu kelaparan, selain mendakwa mereka didera.

Beberapa pempengaruh turut berkongsi hantaran seorang wanita yang meluahkan rasa simpati terhadap nasib kanak-kanak berkenaan ketika melawat mereka di Hospital Pulau Pinang sekitar Ogos lalu dan berhasrat mengambil kanak-kanak itu yang difahamkan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai anak angkat.

Sementara itu, Pengarah JKM Pulau Pinang, Zakaria Taib ketika ditanya mengenai perkembangan isu berkenaan berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kemudian.

“Nanti saya maklumkan,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini