PUTRAJAYA: Tuduhan dan persepsi kononnya kerajaan berdiam apabila agama Islam dihina adalah fitnah dan tidak berasas.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, sesiapa pun yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa.
Katanya, sebagai contoh kes kalimah Allah dipersenda melalui penjualan stokin, syarikat dan pembekal masing-masing didenda RM60,000.

Begitu juga kes seorang lelaki persenda perkataan Allah didenda RM12,000 dan dipenjara 6 bulan.
Kes lain membabitkan peniaga jagung bakar meletak notis perkauman, didenda RM400 manakala kes Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing didenda RM10,000.
“Dalam kes yang saya senaraikan tadi, jelas semuanya disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum dan kesemua tindakan terbabit adalah berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada dan setiap kes yang ada punca pelaporan akan melalui jalur proses dan hukum negara.
“Ini mesej yang tegas buat semua rakyat Malaysia untuk menghentikan budaya menghina mana-mana agama, budaya dan kaum di mana-mana ruang di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.