BATANG KALI: Kegagalan kaki cerun dipercayai menjadi punca kejadian runtuhan tanah di tiga tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali, dekat sini, awal pagi tadi.
Runtuhan itu membabitkan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu (m³) dengan anggaran tanah runtuh 500,000 tan dan ketinggian 30 meter (m).
Jarak runtuhan pula sejauh 150m dan lebar 100m.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim, berkata siasatan awal mendapati tiada tanda awal runtuhan dikenal pasti, selain keadaan cerun adalah landai dan memenuhi kriteria cerun selamat.
Cerapan taburan hujan di sekitar lokasi kejadian juga merekodkan tiada hujan luar biasa sejak kelmarin.
Malah, tiada sejarah kejadian runtuhan tanah berlaku di kawasan sekitar.
Justeru, semua lokasi aktiviti riadah sekitar Batang Kali akan ditutup kepada umum sehingga suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
“Siasatan awal turut mendapati tapak perkhemahan mempunyai kebenaran merancang dan kebimbangan ketika ini adalah tahap kerosakan cerun dengan kerja menstabilkan struktur akan dibuat segera sejurus operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa selesai.
“Malah, tiada pergerakan air bawah tanah di bahagian muka dan badan cerun dengan aktiviti berkenaan hanya dikenal pasti di kaki cerun sahaja.
“Kita tengok memang sepanjang jalan tiada tanda runtuhan cerun akan berlaku, cuma bimbang ada kerja yang mungkin dibuat di kaki cerun dan siasatan forensik akan dibuat bagi mengesahkannya,” katanya pada sidang media di sini.