Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Topi keledar percuma, kaunter JPJ diserbu pengunjung

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR : Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di sini, diserbu lebih 1,000 pengunjung yang mahu mendapatkan topi keledar secara percuma.

Walaupun kaunter hanya dibuka pada jam 9 pagi, kebanyakan mereka sudah mula beratur sejak jam 7.30 pagi.

Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat, JPJ Kuala Lumpur, Azharul Izwan Puaadi berkata walaupun kaunter dibuka baru sejam, namun topi keledar percuma yang disediakan sudah habis diedarkan kepada pengunjung.

“Untuk program selama tiga hari ini, kita sediakan sebanyak 3,000 topi keledar, ini bermakna untuk sehari kita hadkan kepada 1,000 sahaja.

Kebanyakan daripada pengguna menggunakan topi keledar mereka sehingga span di dalamnya mula menipis, ini menyebabkan walaupun topi keledar itu diikat namun ia masih longgar serta berisiko sekiranya berlaku kemalangan.

“Jadi bagi memastikan mereka ini selamat di jalan raya, kita berikan mereka topi keledar baharu secara percuma supaya ketika memakai topi berkenaan ia masih lagi ketat.

“Walaupun tidak dapat membantu supaya tidak berlakunya kemalangan, sekurang-kurangnya sekiranya mereka terjatuh dan memakai topi keledar yang masih lagi dalam keadaan baik, ia dapat mengurangkan risiko kecederaan,” katanya, lapor Berita Harian.

Azharul berkata, JPJ tidak meletakkan syarat yang ketat sebaliknya seseorang itu hanya perlu menunjukkan kad pengenalan sebagai pengesahan warganegara dan membawa topi keledar lama untuk diganti dengan baharu.

Foto: NSTP

Tambahnya, topi keledar mempunyai tarikh luput namun kebanyakan masyarakat memakainya sehingga 10 tahun dan ia tidak lagi dalam keadaan baik.“Jangka hayat topi keledar ini adalah dalam tempoh lima hingga enam tahun, namun sekiranya ia dijaga dengan baik dan tidak pernah terjatuh jangka hayatnya boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun.

“Tetapi kita nasihatkan sekiranya topi keledar yang banyak kali terjatuh untuk menukarnya setiap lima tahun,” katanya.

Azharul berkata, selain pemberian topi keledar secara percuma, JPJ dibawah Kementerian Pengangkutan itu turut menyediakan perkhidmatan lain termasuk pembayaran saman yang masih aktif dalam tempoh 30 hari, pembaharuan lesen memandu serta cukai jalan.

Namun, jelasnya, bagi pembayaran saman, tiada pengurangan kadar kompaun diberikan oleh pihaknya di kaunter terbabit.

Batumalai Subramaniam, 64, Kamarul Johari, 61 dan Wong Huey Shing, 32, antara 3,000 pengunjung yang menerima topi keledar baharu anjuran JPJ pada Program Setahun bersama Kerajaan Madani – Foto: NSTP

Sementara itu, pengunjung, S Batumalai, 64, berkata pada mulanya beliau kecewa kerana tidak dapat membayar saman JPJ kerana sudah tamat tempoh namun ada yang memaklumkannya mengenai pemberian topi keledar percuma.

“Baguslah apa yang dilakukan ini, walaupun saya tidak dapat membayar sama tetapi saya dapat memiliki topi keledar baharu.

Sekurang-kurangnya saya tidak pulang dengan tangan kosong.

“Topi keledar ini jika dibeli diluar, harganya paling murah mencecah RM80, jadi saya dapat jimatkan jumlah itu dengan inisiatif yang diambil oleh JPJ ini,”katanya yang datang dari Puchong.

Seorang lagi pengunjung, Kamarul Johari, 61, berkata topi keledarnya yang lama sudah dipakai lebih lima tahun dan keadaannya juga tidak begitu baik.

“Tali topi keledar saya pun dilekatkan dengan ‘staple’ supaya ia tidak terputus, jadi bila dapat yang percuma ini saya sangat bersyukur. Saya mula beratur sejak jam 8.30 pagi, walaupun ramai tetapi prosesnya sangat laju kerana banyak kaunter disediakan,” katanya.

Loading...
Terkini