Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Kehidupan yang bergantung sepenuhnya terhadap jemaah mengakibatkan ahli GISBH sukar untuk meninggalkan pertubuhan yang telah difatwakan sesat itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebahagian besar ahli sememangnya bergantung nasib terhadap organisasi itu demi kelangsungan hidup mereka.
“Mereka cuba keluar dari kumpulan itu (GISBH) tetapi tak boleh melangsungkan kehidupan kerana mereka telah bergantung dengan jemaah di dalam itu sendiri.
“Kehidupan harian itu telah diatur dalam jemaah itu sendiri, dari segi rumah, pekerjaan, semua ini telah disediakan. Ini termasuk penjagaan anak-anak sewaktu mereka sedang bekerja.
“Jadi apabila mereka keluar, mereka berseorangan dan tiada sistem sokongan,” katanya ketika sesi podcast khas Buletin TV3 hari ini.
Mengulas lanjut, masyarakat dan pihak berkuasa harus memainkan peranan dalam mewujudkan sistem sokongan terhadap saki baki ahli GISBH yang mungkin cuba keluar dari kepompong berkenaan.
Ujar Shuhaily, aspek pemulihan akidah masih tidak mencukupi sekiranya ia tidak mengambil kira soal pembangunan insan untuk tempoh jangka masa panjang.
“Pihak kami telah syorkan kepada pihak berwajib supaya program pemulihan bukan setakat pemulihan akidah tetapi juga kelangsungan hidup sebagai seorang insan.
“Dari segi ekonomi, perpaduan, dan penerimaan dalam kalangan masyarakat setempat juga perlu ada dalam program yang bakal direncanakan,” katanya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.