comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] STPM 2022: 1,009 calon dapat PNGK 4.00 terdiri daripada B40 

 

BATU CAVES: Seramai 1,184 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Daripada jumlah itu, 1,009 calon atau 85.22 peratus adalah daripada kalangan kategori B40.

Menurut Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, jumlah calon yang memperoleh keputusan PNGK 4.00 tahun lalu meningkat berbanding 874 pada 2021.

“Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2022 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 9.59 peratus, PNGK 3.00 dan ke atas ialah 42.96 peratus, PNGK 2.75 dan ke atas ialah 56.97 peratus dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 89.75 peratus turut meningkat berbanding tahun 2021,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2022 di MPM di sini, hari ini.

Jelas beliau, bilangan calon yang meraih 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil juga bertambah daripada 36 calon pada 2021 kepada 38 calon dalam peperiksaan STPM 2022.

 “Daripada 38 calon yang mendapat 5A ini, 26 daripadanya adalah calon kategori B40.

 “Begitu juga dengan bilangan calon yang mendapat 4A bertambah daripada 860 calon pada tahun 2021 kepada 1,158 calon pada 2022.

 “Pertambahan ini adalah sebanyak 298 calon atau 34.65 peratus daripada tahun 2021 dan 993 daripadanya calon dari kategori B40,” katanya.

Ujar beliau, PNGK Nasional STPM 2022 turut menyaksikan peningkatan kepada 2.82 pada tahun lalu berbanding 2.79 pada tahun sebelumnya sekaligus yang tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM.

MPM tambahnya turut memilih 17 pelajar terbaik dalam pelbagai kategori termasuk B40, Orang Asli serta calon berkeperluan pendidikan khas dengan masing-masing menerima wang tunai RM1,000, plak dan sijil.

 

 

Loading...
Terkini