Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Stigma kusta masih menebal, ‘Lembah Harapan’ penyambung sisa usia


Oleh: Nurul Amalina Zainudin

SUNGAI BULOH: Ada yang masih berkeluarga, namun panggilan sebagai ‘bekas pesakit kusta’ menjarakkan mereka apabila jangkitan penyakit itu terus menjadi stigma di kalangan masyarakat.

Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) menjadi pilihan akhir bagi bekas pesakit menghabiskan sisa umur mereka.

Dahulunya ‘Lembah Harapan’ yang terletak di Sungai Buloh, Selangor ini meriah dengan ribuan pesakit kusta.

 

Namun, jumlah mereka semakin berkurangan selepas penyakit itu dapat dirawat dan tidak perlu diisolasi lagi.

Kini, hanya terdapat empat wad lelaki dan tiga wad wanita yang berfungsi, dengan 27 pesakit.

Biarpun sudah pulih daripada jangkitan itu, majoriti bekas pesakit kusta memilih untuk tinggal di wad PKKN bagi merawat pelbagai penyakit sampingan yang dihidapinya.

“Duduk wad sudah 20 tahun, ada empat anak, baru ada cucu, mereka ada datang melawat,” ujar bekas pesakit kusta, Ooi Say Cheong, 71.

Menyingkap kisah seorang lagi bekas pesakit, Yeoh Soon Hwa, 70, pula, dia terpisah dengan ibu bapa sejak kecil kerana terpaksa mendapatkan rawatan di PKKN.

Pesakit kusta lebih selesa berada di Lembah Harapan selepas sekian lama dipinggirkan masyarakat.

Dia hanya mampu menumpang kasih dua orang abangnya yang turut mendapat nasib sama.

“Bagus lah kat sini semua, macam adik-beradik, semua rapat,” kongsinya.

Bagi mereka yang kurang bernasib baik, ada yang terus ditinggalkan keluarga.

Yang setia menjadi peneman, hanyalah jururawat yang bertugas di sini.

Biarpun sering dimomokkan dengan jangkitan wabak itu, Pembantu Perawatan Kesihatan PKKN, Sulaiman Saleh, 60, tidak pernah gentar, malah setia berkhidmat selama 37 tahun di Lembah Harapan ini.

“Dah lama-lama saya rasa macam jaga orang tua, orang tua saya sendiri, sesiapa pun masuk dekat Lembah Harapan mula-mula ini dulu memang perasaan macam saya jugak, takut, rasa geli, jijik,” katanya.

Disebalik pelbagai cerita tidak enak mengenai pusat ini, penghuni sebenarnya hidup dalam keadaan bahagia dan penuh ceria.

Pernah putus harapan dan merasa tertekan kerana sering dipinggirkan masyarakat, kini majoriti bekas-bekas pesakit kusta selesa menjalani kehidupan di perkampungan ini yang mempunyai 273 chalet khas dan melakukan aktivit rutin seperti bersosial bersama rakan-rakan dan menanam pokok bunga.

Ketua Penolong Pengarah PKKN, Dr.Norshahidah Soid berkata kebanyakan mereka tidak mahu pulang ke pangkuan keluarga kerana stigma negatif masyarakat, biarpun mereka kini bebas dari jangkitan itu.

“Sebelum ini mereka dibuang, dipandang rendah oleh keluarga dan masyarakat, apabila di sini, mereka hidup bersama-sama dengan kecacatan yang sama, luka-luka yang sama jadi mereka rasa sama dan merasa sinar baru untuk mereka,” ujarnya.

Penyakit kusta disebabkan jangkitan kuman ‘Mycobacterium Leprae’ yang boleh memberi kesan sampingan serius pada kulit, saraf, mata serta bahagian dalam hidung.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini