Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] SPRM beku akaun bank peribadi, syarikat milik Vivy dan suami


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.

Pembekuan menerusi Op Favish itu susulan siasatan terhadap pasangan terbabit berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Menurut sumber, SPRM pada Isnin lalu secara serentak menyerbu FashionValet, Kementerian Kewangan (MOF), Khazah dan PNB serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.

“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi ‘Op Favish’ membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri ini bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.
“SPRM sudah merakam beberapa keterangan individu penting merangkumi pegawai kanan Khazanah, PNB, Fashion Valet, akauntan, penilai syarikat dan introducer,” katanya memetik laporan BH Online.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun terbabit dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, SPRM menggeledah kediaman pasangan suami isteri pengasas platform e-dagang itu di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Dalam penggeledahan itu, SPRM menyita 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira RM200,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini