comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Serangan gajah liar: 235 peneroka kerugian RM500,000 sejak 3 tahun lalu

FOTO: NSTP

GUA MUSANG : Kira-kira 235 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, di sini, mengalami kerugian hampir RM500,000 sejak tiga tahun lalu apabila tanaman mereka musnah angkara gajah liar.

Malah penduduk mendakwa, gajah liar terbabit turut berkeliaran di kawasan penempatan penduduk sejak seminggu lalu.

Dalam kejadian terbaharu Rabu lalu, seorang penduduk berdepan detik cemas apabila melihat kemunculan tiga ekor gajah berhampiran rumahnya.

Penduduk, Kartini Mohamed, 45, berkata dalam kejadian pada Rabu lalu itu, dia terkejut apabila melihat tiga ekor gajah ditepi rumahnya.

FOTO: NSTP

“Saya melihat dengan jelas tiga ekor gajah liar termasuk yang masih kecil berada di tepi rumah. Saya memaklumkan kepada suami dan hanya mendiamkan diri di dalam rumah.

“Sebelum ini ganguan gajah liar sudah kerap berlaku di kawasan kebun penduduk. Namun sejak seminggu lalu mula berkeliaran di kawasan kampung.

“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kepada kami yang boleh mengancam nyawa penduduk tambahan pula gajah liar terbabit membawa anak bersama,” katanya ketika di RKT Kesedar Renok Baru.

Manakala bagi Rani bin Awang Su, 69, berkata setiap tahun sejak tiga tahun lalu peneroka di kawasan itu terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit

Katanya, sepanjang tiga tahun ini dianggar hampir RM500,000 kerugian yang terpaksa ditanggung penerok apabila tanam seperti kelapa sawit dan pisang dirosakkan gajah liar.

“Saya sangat berharap pihak berwajib dapat segera memindahkan gajah liar yang menggangu tanaman penduduk dan kini berkeliaran di kawasan penempatan sehingga menimbulkan ketakutan kepada 2,000 penduduk.

“Sebelum ini kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sejak saya tinggal di sini lebih 40 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohamad Hafid Rohani menasihatkan peneroka untuk membersihkan kawasan kebun dan rumah mereka bagi mengelakkan kemunculan haiwan gajah liar terbabit.

“Penduduk juga dinasihatkan untuk keluar berkerja secara berkumpulan. Selain itu, sekiranya terserempak dengan haiwan liar, segera menjarakkan diri dan bersembunyi di belakang pokok, serta mengelakkan dari melakukan provokasi terhadap gajah terbabit,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini