comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Selamat tinggal, dan terima kasih Sri Pentas

 

Oleh: Farah Nabilah Wazer

KUALA LUMPUR: “Kembali kepada rakan setugas, di Sri Pentas,”

Itu ungkapan yang sering didengar dan diikuti penonton setia ketika menonton lintas langsung oleh wartawan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA), Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (Media Prima).

Namanya sahaja cukup ikonik, gah dan menjadi lambang keunggulan Media Prima sebagai peneraju industri penyiaran dan media di Malaysia.

 

Bahkan, sejak 1995, Sri Pentas sudah memahat nama menjadi sebahagian daripada budaya popular (Pop Culture) merangkumi berita komprehensif, dan perkembangan dunia seni merentasi generasi.

Setelah hampir tiga dekad di Sri Pentas, Petaling Jaya, kini operasi berita Rangkaian Televisyen Media Prima mula dipancar dari pusat operasi baharunya di Balai Berita Jalan Riong, Bangsar.

Selain TV3, TV9, 8TV dan Didik TV turut melabuhkan tirai di Sri Pentas untuk bersiaran dari Bangsar.

Menggabungkan operasi berita termasuk TV9, 8TV dan NTV7, ia menjadikan pengumpulan kandungan berita dari segenap pelosok tanah air lebih lengkap dan efisien

Bukan sekadar Buletin Pagi, Buletin 1.30, Berita Terkini, Nightline dan Buletin Utama, fokus juga diberi dalam segmen seperti Aduan Rakyat dan Laporan Khas yang disampaikan dengan lebih segar dan terkini.

Menurut Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Syed Hussian Aljunid, perpindahan ini disifatkan tepat pada waktunya.

 

“Apabila kita dah berada di bawah satu bumbung, ia merapatkan semua platform yang sedia ada. Perpindahan ini juga simbolik kepada era baharu yang lebih dinamik dan progresif untuk Media Prima,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Rafiq Razali berkata syarikat memutuskan untuk melaburkan sejumlah wang yang tinggi untuk menambaik infrastruktur dan sistem sistem ada dengan teknologi terkini.

Empat studio baharu berita bagi setiap stesen menggunakan sistem digital sepenuhnya termasuk sistem bilik berita yang terkini.

Ia secara tidak langsung mendedahkan warga kerja Media Prima dengan teknologi terkini selain meningkatkan kecekapan operasi secara keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studio, Nini Yusof menambah, para penonton akan menyaksikan kelainan dari segi penyampaian para penyampai rangkaian TV dengan studio dan set baharu.

Perpindahan ini juga dilihat anjakan lebih dinamik dalam memastikan TV3 kekal sebagai peneraju kandungan berkualiti dan stesen nombor satu di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini