Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sedekad MH17: Misi berani mati ‘The Dozen Person’, nyawa jadi taruhan


Oleh: Fahmi Tajuddin & Fatin Hanani Sahimi

Misi berani mati kumpulan ‘The Dozen Person’ yang diketuai Kolonel (Bersara) Mohd Sakri Hussin dalam misi menuntut kotak hitam pesawat MH17 10 tahun lalu, wajar dikenang segenap generasi.

Menyingkap kembali perjalanan misi mencabar itu, Sakri menceritakan kepada Buletin TV3 bagaimana beliau dan ahli misi terpaksa menempuh pelbagai risiko mencabar.

Kolonel (Bersara) Mohd Sakri Hussin mengetuai misi berani mati kumpulan ‘The Dozen Person’ dalam misi menuntut kotak hitam pesawat MH17, 10 tahun lalu

Ia termasuk risiko berdepan puak pemisah Donetsk (DSG), masalah komunikasi bahasa serta terpaksa bertugas dalam keadaan berpuasa selama 18 jam.

Sakri pada ketika itu diamanahkan untuk mengeluarkan jenazah mangsa dan kotak hitam MH17 dari lokasi nahas yang juga lokasi bergolak di wilayah Donestk, timur Ukraine.

PERGERAKAN KE DONETSK DIHIDU KERAJAAN UKRAINE

Pada 20 Julai 2014, sekitar jam 5 pagi (waktu Ukraine), beliau telah dihubungi oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi arahan kepadanya untuk membentuk satu pasukan perunding dan menghubungi ketua puak pemisah DSG, Alexander Borodai bagi sesi rundingan.

“Saya diarah menghubungi Borodai menerusi nombor telefon bimbit yang diberikan Perdana Menteri, tetapi oleh kerana Borodai tidak fasih berbahasa Inggeris, saya diminta berhubung dengan orang kepercayaannya iaitu Mr Sergei,” katanya.

Sebaik persetujuan diperoleh, beliau dan anggota terlibat bergerak ke Donetsk pada jam 4 petang dari Kharkiv dan menempuh perjalanan selama enam jam.

“Kami tiba di Kharkiv kira-kira jam 10 malam dan sepanjang perjalanan itu, kami menempuh dua sekatan jalan raya. Di pusat pemeriksaan pertama, kami ditahan hampir sejam dengan dokumen pengenalan diri diambil dan diperiksa secara ketat sebelum dibenar meneruskan perjalanan.”

Perjalanan ke Donetsk disambung semula jam 8 pagi keesokan harinya, namun beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada sumber yang memintanya berpatah balik, selepas pergerakan misi rahsia itu dikesan pihak berkuasa Ukraine.

Bila sampai di checkpoint terakhir iaitu checkpoint pihak pemisah, sekali lagi saya dihubungi oleh pihak Ukraine yang dapat menghidu pergerakan kami dan kami diarah untuk berpatah balik. Kerana di situ telah ada amaran yang menyatakan kiranya kita gerak juga, kita akan menerima akibatnya,” katanya.

TIBA DI MARKAS PUAK PEMISAH, RUNDINGAN BERMULA

Setelah menghadapi kesulitan di beberapa pusat pemeriksaan sebelum memasuki Donetsk, sekitar jam 3 petang, beliau dan anggota yang lain sampai ke lokasi markas DSG di Donetsk.

Meski pada awalnya gementar dalam keadaan kumpulannya memasuki kawasan perang tanpa membawa senjata, perasaan takut itu kemudian hilang apabila melihat sikap terbuka puak pemisah yang menerima kehadirannya dalam keadaan yang harmoni.

Perasaan takut Saksi dan pasukannya hilang apabila melihat sikap terbuka puak pemisah yang menerima kehadirannya dalam keadaan harmoni

“Saya tiba di checkpoint terakhir puak pemisah pada jam 2 petang, dan akhirnya jam 3 petang baru saya sampai ke markas ketua pemisah yang bernama Alaxander Borodai. Mereka menerima ketibaan saya dalam keadaan yang begitu harmoni dan itulah perjalanan untuk sampai ke tempat pemisah.

“Hari tu merupakan bulan puasa, semua tak makan, semua berpuasa dan sampai di HQ pemisah, saya minta untuk laksanakan solat jamak, disediakan tempat juga. Saya lihat begitu terbukanya mereka kepada kita yang datang dari Malaysia, yang kosong tangan hanya untuk berunding dan mereka menerima dengan begitu baik.”

KOTAK HITAM DAN MAYAT MANGSA DISERAHKAN KEPADA MALAYSIA

Rundingan tertutup berlangsung antara Sakri dan Borodai bersama Purgin Andre, dibantu jurubahasa tentera, Kapten Dr Mohd Zainizam Zainal di markas berkenaan. 

Sakri berkata, ketika berunding, terdapat empat tuntutan daripadanya, mewakili kerajaan Malaysia pada ketika itu.

Borodai juga mahu urusan penyerahan kotak hitam dan mayat dipercepatkan kerana mereka mendapat tekanan pihak antarabangsa, selain berdepan risiko diserang tentera Ukraine.

“Perkara yang saya minta dari mereka, empat perkara. Pertama sekali kita nak semua body diserahkan kepada kita, tidak diserahkan kepada orang lain. Yang kedua blackbox, yang ketiga personal belongings yang dipunyai oleh mangsa. Yang keempat adalah berhubung kait dengan akses ke tempat kejadian.”

Katanya lagi, semua tuntutan beliau dipersetujui oleh puak pemisah kecuali tuntutan untuk membawa pulang barangan peribadi mangsa nahas tragedi.

Beliau berkata, Borodai yang juga ketua puak pemisah tidak bersetuju dengan tuntutan itu, susulan radius serpihan pesawat terhempas sekitar 50 kilometer di sekitar Donetsk dan agak mustahil untuk mengutip segala barangan peribadi mangsa.

Setelah 4 jam sesi rundingan dijalankan, akhirnya pada jam 7 petang, dokumentasi rundingan antara Sakri dan Borodai dimeterai dan kotak hitam diserahkan kepada Sakri dalam satu sidang media ringkas.

SEDEKAD BERLALU, MEMORI MISI MENCABAR MASIH SEGAR

Meskipun sudah 10 tahun berlalu, namun kenangan suka dan duka dalam misi mencabar itu masih segar dalam ingatan.

Lebih manis, misi yang pada awalnya diragui kemampuannya berjaya membuahkan hasil, apabila kesemua tuntutan bersama puak pemisah berjaya dipersetujui dalam tempoh hampir 24 jam rundingan.

Kini, tiada apa yang diminta, melainkan sumbangan dan jasa besar beliau serta anggota terus dihargai dan dikenang segenap generasi.

Hampir kesemua tuntutan negara bersama puak pemisah berjaya dipersetujui dalam tempoh hampir 24 jam rundingan

“Apa yang telah dibuat mereka (The Dozen Person) ini wajar diberi penghormatan, diberi sedikit kenangan kepada mereka dan perkara ini bagi saya akan berterusan. Waktu itu, kumpulan kami, saya yang diamanahkan,” katanya.

Dengan merendah diri, beliau berharap legasi yang ditinggalkan olehnya dan kumpulan ‘The Dozen Person’ dapat disambung oleh kumpulan penyiasat seterusnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini