Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sedekad MH 17: Saya dapat rasakan diri saya dalam pesawat malang itu


Oleh: Fahmi Tajuddin & Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Saya dapat dengar bunyi orang menjerit dan melaungkan kalimah Allah,” itu ungkapan bekas anggota SMART, Kapten (B) Muhamad Zulhilmi Zahari yang diberi tanggungjawab mengutip cebisan mayat mangsa nahas MH17 yang ditembak jatuh di Timur Ukraine.

Zulhilmi Zahari antara 133 anggota Pasukan Siasatan Khas Malaysia yang ditugas menjalankan siasatan menyeluruh mengenai nahas pesawat berkenaan.

“Saya di sana berperanan sebagai pegawai operasi dan pasukan saya berperanan untuk mengeluarkan mayat dari gerabak keretapi tersebut, dimasukkan ke dalam keranda dan kita pindahkan ke satu gudang. Apabila selesai, semua keranda tersebut dibawa keluar ke Belanda untuk proses DNA,” ujarnya dalam satu temu bual khas bersama Buletin TV3 sempena memperingati sedekad tragedi MH17.

Kapten (B) Muhamad Zulhilmi Zahari antara 133 anggota Pasukan Siasatan Khas Malaysia yang ditugas menjalankan siasatan menyeluruh mengenai nahas MH17

Sembilan hari di wilayah bergolak Donetsk menjadi pengalaman yang sukar untuk dilupakan, ditambah pula terpaksa bertugas dalam bulan Ramadan.

“Ia tugas yang sangat mencabar kerana tragedi berlaku pada Ramadan dan ketika itu, kami perlu berpuasa sehingga 20 jam,” katanya.

Pada masa sama, selain pasukan Zulhilmi, satu lagi pasukan khas terdiri daripada 12 individu (The Dozen Person) berunding dengan pemberontak untuk membawa balik kotak hitam pesawat.

Zulhilmi diberi tanggungjawab mengutip cebisan mayat mangsa nahas MH17

“Manakala pasukan saya (dua pegawai dan 21 anggota) bersiap sedia di stesen kereta api. Kami menunggu mereka (berunding dengan pemberontak untuk membawa balik kotak hitam pesawat) untuk pulang bersama dengan menaiki kereta api yang membawa gerabak berisi mayat.

Beliau turut berkongsi pengalaman tatkala membuka pintu kereta api khas yang membawa mayat dan jasad mangsa nahas.

“Masa saya melangkah masuk tu, saya dah tak fikir dah bau-bau tu. Saya dapat rasakan seolah-seolah saya yang berada dalam pesawat malang tu.

“Saya dapat dengar bunyi.. bunyi orang-orang menjerit, melaungkan kalimah Allah, mengucap, suara bayi dan tangisan apa semua tu.. Saya dapat rasakan semua tu dan apabila dah okay, dah agak bertenang, baru saya panggil anggota saya untuk masuk dan buat kerja kita,” katanya dalam nada sebak.

Zulhilmi tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan semula detik membuka pintu kereta api khas yang membawa mayat dan jasad mangsa nahas

Selain itu, beliau turut menceritakan bagaimana kumpulan penyiasat negara lain tidak menjaga sensitiviti ketika berurusan dengan mayat dan jasad mangsa nahas, sehingga mendesak beliau untuk bersuara.

“Ada suatu ketika kita pindahkan mayat di atas lori, orang yang susun mayat-mayat atas lori itu, itu orang dari Ukraine. Bila dia susun, tak tinggi tapi bertindan, kemudian dia tak tutup penutup atau tailgate tu dan bila lori start bergerak, mayat bergolek jatuh ke bawah.

“Saya tak boleh terima macam tu dan saya tengok diorang ni macam takda hati dan perasaan buat kerja macam tu. Saya cakap dekat seorang pegawai petugas Australia dekat situ, mereka ni kerja tak profesional lah.

10 tahun berlalu, kini Zulhilmi sudah pun bersara.

Namun kenangan misi penuh getir dan mencabar itu tetap terpahat dalam ingatannya untuk selamanya.

Beliau juga berharap pengorbanannya dan anggota yang lain terus dikenang, kerana ia bukan satu misi yang mudah, terutama dalam melindungi kepentingan dan maruah negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini