Oleh: Azib Zikry Abdul Halim
PETALING JAYA: Berbekalkan wang saguhati 100 ringgit sahaja, kini kucing jalanan yang sihat bakal menjadi peneman seharian anda di rumah.
Inisiatif tersebut dijalankan badan kebajikan Persatuan Haiwan Malaysia, dalam sebuah festival Kucing Angkat bagi membela nasib kucing jalanan yang dijalankan di sebuah pusat beli-belah.
Program berkenaan diadakan bagi menarik pencinta kucing membela haiwan berkenaan sebelum nyawanya diperjudikan pihak tidak bertanggungjawab.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkongsi bahawa mereka terpanggil untuk bertanggungjawab membela nasib kucing jalanan, selain menitikberatkan kesihatan si haiwan sebelum diserahkan kepada pemilih baharu.
“Kita juga memperkasakan elemen-elemen kebajikan haiwan antaranya ialah menyelamatkan kucing-kucing ini, memberikan perubatan yang baik, bantuan makanan dan sebagainya dan akhirnya baru kita buka untuk mengambil haiwan ini,” kongsinya.
Dia turut berkongsi ini bukan pertama kali program seumpama ini dijalankan, disebabkan mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya buat pencinta ‘si bulus’ ini.
“Ini merupakan program keempat tahun ini sahaja, disebabkan galakan yang memberangsangkan dari tahun-tahun sebelumnya,” tambahnya lagi.
Inisiatif program seumpama ini dilihat berjaya terutamanya buat mereka yang tidak berkira samada ia adalah kucing jalanan ataupun tidak.
Salah seorang pengunjung festival berkenaan, Azeid Aldrin Amin, 26, menyifatkan penting untuk kebajikan haiwan jalanan dijaga terutamanya inisiatif sebegini yang tidak memerlukan kos yang tinggi bagi memiliki kucing.
“Jikalau aktiviti sebegini kerap dijalankan, lambakan kucing yang terbiar dapat dikurangkan selain tidak perlu mengeluarkan duit yang banyak untuk memiliki seekor kucing,’ jelasnya