KUALA LUMPUR: Projek pembangunan di negara ini disyor menerapkan ciri identiti berbilang bangsa dan budaya di Malaysia.
Saranan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tanggungjawab itu digalas bersama pemaju hartanah, arkitek dan pembuat dasar.
Pembangunan projek juga perlu menampilkan seni bina dan reka bentuk yang menerapkan elemen budaya tempatan, berteknologi, mesra alam dan inklusif.
“Terdapat kelompok Orang Asli, Melayu, Cina serta India adalah sebahagian daripada masyarakat di negara ini dan jika anda lihat di Sabah dan Sarawak, anda akan menyaksikan kehebatan nilai budaya dalam kalangan etnik Dayak, Kadazan serta Murut. Adalah sesuatu yang memalukan jika kita tidak berusaha untuk menampilkan ciri-ciri ini sama ada ketika perancangan, rekaan atau pembinaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada Persidangan Meja Bulat Menteri Asean-China mengenai pembinaan dan perumahan ‘acmroch’.
Anwar juga mengingatkan sebarang projek pembangunan perlu mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat dan permintaan semasa rakyat.
Kerajaan turut digalakkan untuk menerapkan dasar perkongsian awam-swasta untuk membangunkan infrastruktur dan projek perumahan awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa