Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Produk tembaga buatan tempatan mendapat permintaan tinggi sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Syawal, terutama bagi peralatan memasak seperti periuk, kuali, sudip, serta acuan kuih tradisional seperti baulu dan akok.
Bukan sahaja produk baharu, malah peralatan dapur tembaga terpakai juga menjadi rebutan dalam kalangan suri rumah.
Menurut seorang peniaga tembaga di Pasar Payang, penggunaan peralatan memasak dari tembaga kini menjadi trend, terutama selepas ramai pencipta kandungan masakan di media sosial mempopularkan penggunaannya.
Bagaimanapun, permintaan tinggi itu turut menyebabkan kesukaran bagi peniaga untuk mendapatkan stok kerana bilangan pengusaha pembuatan tembaga semakin berkurangan.

Permintaan tinggi, stok semakin terhad
“Permintaan sekarang sangat tinggi, biasanya pelanggan membeli acuan kuih akok, kuih bunga durian dan banyak lagi.
“Walaupun harganya sedikit mahal, tetapi kualitinya sangat baik, tahan lama, serta mempunyai nilai yang tinggi,” kata peniaga tembaga, Wan Mohammad Aizat Wan Mohd Rozali, kepada Buletin TV3.

Seorang lagi pengusaha, Noor Asrumanizawati Awang, turut mengakui permintaan meningkat secara mendadak, namun bahan mentah yang semakin berkurangan menjadi cabaran utama dalam menyiapkan tempahan pelanggan.
“Cabaran sekarang ialah bilangan tukang tembaga semakin berkurang, hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih aktif.
“Selain itu, kekurangan bahan mentah juga menyukarkan pengusaha untuk menghasilkan produk dalam jumlah yang banyak,” katanya.
Barangan tembaga terpakai bernilai
Selain produk baharu, barangan tembaga lama juga mempunyai nilai tinggi jika dijual.
Menurut beberapa pengguna yan ditemui Buletin TV3, periuk dan kuali tembaga pernah menjadi peralatan dapur wajib dalam setiap rumah pada zaman dahulu.
Ia kerana masakan tidak mudah berkerak dan lebih senang dicuci.

Ancaman produk tembaga tiruan dari luar
Permintaan tinggi terhadap peralatan memasak tembaga menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menjual produk tiruan dari negara jiran.
Jika tidak dikawal, lambakan produk import ini boleh menjejaskan industri tembaga tempatan, sama seperti industri songket Terengganu yang kini bersaing dengan songket dari India.
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membeli produk tembaga kerana barangan tiruan dilaporkan mudah rosak dan berkarat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.