Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR : Pengukuhan identiti nasional dan kerjasama berbilang kaum antara nilai murni diperolehi pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri satu.
Ia ditonjolkan menerusi modul kenegaraan dan ketenteraan yang diterapkan dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan selama 45 hari.
Seramai 116 pelatih membabitkan 73 lelaki dan 43 perempuan secara sukarela menyertai PLKN 3.0 siri satu.
Ia dikendalikan jurulatih terdiri daripada anggota serta pegawai tentera darat, laut dan udara.
Pelbagai latihan didedahkan meliputi 30 peratus modul kenegaraan merangkumi elemen jati diri, cinta negara dan perpaduan.
Manakala, 70 peratus pula adalah modul ketenteraan melibatkan latihan kecergasan fizikal, kepimpinan individu dan berkumpulan serta latihan menembak menggunakan senjata ringan.
Bagi pelatih, mereka teruja dan bersemangat dengan setiap aktiviti yang dilakukan.
“Cabaran dan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ketika saya menjalani latihan menembak, abseilling, repailling, dan merentas halangan, bagi saya itu pengalaman baharu, walaupun menembak saya pernah rasa tapi kali ini memang menyeronokkan.” kata Ivy Nurshafica Amaynie, 24 yang ditemui Buletin TV3.

Kelmarin, latihan padu arah dilaksanakan di Sungai Buloh, Selangor sebagai kemahiran medan untuk menguji keupayaan menggunakan kompas, protraktor dan peta.
“Kami sebagai pasukan, walaupun ada halangan kami mahu mengurus masa kami sebaiknya kerana masa itu emas, jadi kami redah halangan.
“Walaupun saya lambat ketika latihan padu arah, mereka membantu dan menyokong saya.
“Dalam kumpulan saya ada melayu, cina dan orang asli Sabah. Jadi ia perasaan yang berbeza sebab aktiviti dilakukan melibatkan pelbagai bangsa,” kata Mugilan S. Anbalagan, 21.

Latihan padu arah bukan sekadar mengasah kemahiran navigasi, tetapi juga membentuk kepimpinan dan kerjasama.
Kecekalan minda dan juga kebijaksanaan menjadi kunci kejayaan, baik dalam latihan mahupun kehidupan.

Sementara itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bersedia untuk menilai semula modul agar lebih berkesan dan mencapai objektif bagi siri PLKN akan datang.
“Selepas siri pertama ini tamat, kita akan membuat post mortem dan dari hasil dapatan post mortem itu nanti kita akan bentangkan kepada kita punya Ahli Jawatankuasa yang menetapkan aspek kejurulatihan ini.
“Yang mana kita perlu tambah, kita akan tambah, yang mana perlu kurang, kita akan kurangkan. Apapun ini tertakluk kepada ketetapan nanti berdasarkan post mortem yang kita akan laksanakan,” ujar Brigedier Jeneral Zainudin Bahari, Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) JLKN.
PLKN 3.0 siri satu bakal berakhir 25 Februari ini.
Siri dua dan tiga akan bermula pada 11 Mei dan 7 September depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.