Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Banyak juadah makanan dan minuman tular berwarna-warni dijual di bazar Ramadan untuk menarik perhatian pengunjung terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Walaupun peniaga mematuhi amalan pengunaan pewarna sintetik berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, namun adakah makanan itu masih selamat dimakan oleh kanak-kanak dan tanpa mengetahui jumlah kandungan bahan pewarna sintetik yang digunakan?
Menjawab persoalan itu, Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr.Napisah Hussin berkata, pengambilan makanan yang mengandungi bahan pewarna tiruan atau sintetik berlebihan boleh menjejaskan proses tumbesaran, mendorong kanak-kanak mengidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan (ADHD), asma dan radang kulit.
“Pertama, isu kesedaran pengguna itu dan kesedaran penjual. Penjual juga memainkan peranan yang penting kerana penjual harus tahu pewarna yang digunakan selamat. Selamat maksudnya boleh digunakan dalam makanan dan mengikut peraturan makanan.
“Ada juga bahan pewarna yang tidak boleh digunakan dan tidak dibenarkan, yang itu kajian menunjukkan ada kesan karsinogenik,” katanya.
Penggunaan pewarna makanan telah meningkat berikutan pewarna makanan sintetik mudah diperolehi berbanding pewarna dari bahan semula jadi yang agak cerewet untuk diproses dan dibuat.
“Daripada hasil kajian juga ada mengatakan bahan pewarna sintetik tambahan ini memberi reaksi alergik kepada kanak-kanak, termasuk radang kulit, radang pernafasanan, sesetengah keadaan boleh menyebabkan masalah pernafasan sangat jarang berlaku.
Agak mustahil tidak makan makanan yang ada perwarna tetapi sebaiknya mengurangkan contohnya kanak-kanak yang sudah ada ADHD, hiperaktif, kita elakkan penggunaan yang melampau terhadap kanak-kanak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.