Oleh: Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Bermula dengan hanya bermain gitar di platform media sosial, Anwar Amzah, 28, semakin dikenali dalam industri muzik tanah air.
Petikan gitar ‘fingerstyle’ yang dihasilkannya bukan sahaja memukau pendengar dengan melodi yang merdu, malah turut menjadi inspirasi kepada ramai peminat muzik.
Pemuda berbakat dari Kluang, Johor itu, mula bermain alat muzik sejak berusia lima tahun.
Menurutnya, gitar bukan sekadar alat muzik, tetapi menjadi sebahagian besar dalam perjalanan hidupnya.
Bermula dengan hanya bermain gitar di platform media sosial, Anwar Amzah, 28, semakin dikenali dalam industri muzik tanah air.
Petikan gitar “fingerstyle” yang dihasilkannya bukan sahaja memukau pendengar dengan melodi yang merdu, malah turut menjadi inspirasi kepada ramai… pic.twitter.com/SfrCxvygms
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) February 14, 2025
“Saya mula dengan YouTube dan sampai ke sekarang saya memberi nilai tambah dengan kerjaya ini sedikit demi sedikit dengan masuk industri untuk bermain bersama orang yang lebih berpengalaman,” katanya Ketika ditemui Buletin TV3.
Anak bongsu daripada sembilan beradik ini berkata, kemahiran bermain muzik diwarisan daripada bapanya yang juga seorang pemuzik.
“Semua ahli keluarga saya bermain muzik termasuk 8 abang dan kakak. Disebabkan saya lihat mereka bermain muzik sejak kecil, jadi saya ikut jejak mereka.
“Saya letak dalam hati, inilah kerja saya. Saya rasa gitar ni adalah minat saya. Saya dah cuba benda lain, tapi tak boleh, saya tak boleh tinggalkan gitar, jadi gitar ni macam peneman saya,” tambahnya.
Keistimewaan Anwar sebagai seorang pemain gitar terletak pada kebolehannya untuk mendengar dan memahami lagu dengan pantas.
“Sebab saya dah main sejak kecil, jadi saya dah tahu bunyi dia kat mana. Bila saya dengar lagu, saya terus petik. Itu adalah ‘active listening’, jadi kerja saya menjadi lebih mudah. Saya dah tak perlu pakai skor lagi untuk tahu kord atau apa,” katanya.
Dia lebih gemar bermain gitar akustik dan antara gitar kegemarannya adalah Lakewood dari Jerman.
Selain daripada kemahirannya memetik gitar, Anwar juga berbakat dalam mencipta lagu dan menulis lirik.
Walaupun perjalanan dalam industri muzik tidak mudah, dia menganggap cabaran itu sebagai peluang untuk terus maju.
Selain aktif di platform media sosial, Anwar juga gemar menghiburkan pengikutnya dengan muzik dan perkongsian tentang kehidupannya.
Di samping berkolaborasi dengan artis tempatan, dia turut bekerjasama dengan beberapa artis terkenal dari Indonesia.
Selain bermain gitar pemuda itu juga kini aktif mengubah dan menulis lagu, malah turut menanam impian mengembangkan kerjaya sebagai penyanyi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.