Oleh: Fahmi Tajuddin
KUALA LUMPUR: Ajaran sesat yang terus menular di media sosial memerlukan perhatian serius, termasuk pemerkasaan, penyelerasan perundangan di peringkat negeri dan persekutuan bagi mengekang penyebaran ideologi yang mengancam akidah umat Islam dalam era moden.
Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (CMIWS), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, menekankan ketika ini pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) adalah diperlukan dalam menangani isu ideologi songsang terkait kepercayaan dan akidah.
“Saya rasa perkara ini sudah lama dibincangkan, seperti kes pertukaran agama, Syiah dan ajaran sesat. Sebab itu kita perlukan akta yang menyeluruh seperti SOSMA, POCA, POTA khususnya untuk mengekang perkara-perkara seperti dan wajar untuk kita perhalusi akta ini, supaya perkara seperti ini lebih mudah untuk dikenakan tindakan khususnya untuk isu yang melibatkan kepentingan umat islam dan berhubung isu-isu media sosial,” katanya.
Beliau menambah bahawa isu beban pembuktian yang tinggi sering kali menyukarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan ajaran sesat.
“Kerana beban pembuktian itu sudah cukup besar untuk jabatan agama seperti JAKIM, JAIN, untuk melihat beban bukti dan ia (jika didakwa di peringkat negeri) boleh dicabar di mahkamah civil,” tambahnya.
Senada dengan itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Dr Mohd Aizam Mas’od, mengakui kesukaran dari sudut perundangan untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan ajaran sesat, terutama terhadap pengikut-pengikutnya.
“Dalam konteks ajaran sesat berskala besar seperti GISBH, beban pembuktian menjadi cabaran utama. Walaupun kita mempunyai bukti terhadap pemimpin mereka, penglibatan pengikutnya masih perlu dibuktikan secara individu di mahkamah.
“Walaupun kita tahu mereka ini ahli GISBH, tapi perlu dibuktikan terlebih dahulu setiap bukti untuk setiap ahli itu. Barulah mereka yang dijatuhkan hukuman, boleh diperintahkan menjalani pemulihan.
“Misalnya ada 10,000 ahli, bagaimana kita nak paksa mereka semua jalani pemulihan? Kita tidak mampu sebab kita tiada perundangan di situ.
“Kecuali beberapa kes yang boleh kita bawa dibawah Enakmen Jenayah Syariah, tetapi berapa kes sahaja yang kita mampu? Kerana ada beribu ahli, jadi ini kekangan yang kita ada hari ini,”
Mohd Aizam turut mencadangkan kewujudan Akta Pencegahan Kultus untuk membanteras pengembangan ideologi songsang yang mengkultuskan pemimpin dalam sebuah ajaran.
“Kalau ada keperluan nanti, saya rasa kita kena ada Akta Pencegahan Kultus secara khusus. Sudah sampai masanya, sebab kita lihat Akhir Zaman ini terlalu banyak (pengkultusan) bukan hanya kepada orang Islam tetapi mungkin dalam kalangan orang bukan Islam juga. Sebab semua ke sini pengakhirnya boleh membawa kepada implikasi keselamatan.
Menurut beliau, pendekatan pemulihan secara sukarela yang diumumkan kerajaan baru-baru ini juga menghadapi sambutan yang hambar kerana tiada paksaan yang dapat dikenakan terhadap pengikut ajaran sesat.
“Ketika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih wujud, kita mempunyai kuasa untuk menahan mereka dan menjalankan pemulihan. Namun, kini tindakan sebegini memerlukan bukti kukuh sebelum dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.