Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Penduduk Gaza kini bukan sahaja merana dengan serangan bertalu tentera rejim zionis Israel, malah bakal berdepan musim sejuk yang mampu mendatangkan pelbagai risiko termasuk isu kesihatan.
Situasi itu membimbangkan sekiranya bantuan kemanusiaan seperti keperluan asas pakaian dan makanan yang disalurkan terus terhad.
Kekejaman rejim zionis Israel tidak terhenti pada kemusnahan struktur bangunan dan pembunuhan ribuan penduduk Gaza di Palestin.
Malah turut membimbangkan ketiadaan tempat berlindung yang sesuai selepas kediaman mereka hancur dibedil roket rejim itu.
Menurut Aktivis Kemanusiaan, Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, penduduk Gaza bakal berdepan dengan cuaca sejuk pada November depan dengan beberapa kawasan mampu mencecah suhu pada paras negatif.
“Kalau tiada bantuan dari sudut pakaian, selimut dan tentunya akan getir dan cukup mencabar mereka disana khususnya anak-anak kaum ibu, golongan tua dan kita harus terpanggil untuk membantu.” katanya kepada Buletin TV3.
Tambahnya, pelbagai pihak terutama Badan Bukan Kerajaan NGO di Malaysia terus komited berusaha mencari jalan terbaik untuk membantu penduduk Gaza walaupun banyak tekanan dan sekatan yang diterima daripada pihak terbabit.
Ini termasuk Media Prima Berhad MPB yang mengumpul sumbangan awam untuk membiayai aktiviti bantuan kemanusiaan bagi komuniti yang terjejas dalam zon konflik itu.
“Rakyat Malaysia bersama dalam perjuangan suci ini untuk membantu rakyat Palestin dan Insya Allah kita akan teruskan komitmen kita bersama-sama untuk terus menghidupkan isu Palestin agar ianya tidak pudar dari ingatan.
“Kita sentiasa membantu setakat mana kita boleh untuk pastikan rakyat Palestin ini terbela dan mereka berjaya membebaskan bumi Palestin dari cengkaman rejim Zionis Israel” katanya.
Ujarnya semua pihak turut diseru untuk membantu menyebarkan naratif perjuangan membebaskan rakyat Palestin berlandaskan fakta yang benar.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Tujuh hospital Gaza dikepung, fasiliti kesihatan lumpuh
- [VIDEO] Zionis ancam bedil sebuah lagi hospital di Gaza
- Rejim Zionis bedil masjid di Tebing Barat
- 55 maut dalam bedilan ke atas Gaza masuk hari ke-16
- Hanya 20 lori bantuan dibenar masuk ke Gaza, pintu sempadan Rafah masih sesak
- Doktor di Gaza bedah pesakit guna cahaya telefon bimbit
- Lebih 1,600 kanak-kanak terkorban di Gaza sejak 7 Oktober, 1400 masih hilang – DC Palestin
- Isu Palestin: Dunia harus bangkit, hentikan hipokrasi – PM