Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menggugurkan peruntukan berkaitan Generasi Penamat Rokok (GEG) daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, yang dibentangkan hari ini tidak bermakna ia dilupakan sepenuhnya.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia bukan pengguguran secara kekal, sebaliknya Kementerian Kesihatan mengambil keputusan mengutamakan penggubalan RUU tersebut tanpa isu berbangkit berkaitan perundangan kelak atas nasihat
Pejabat Peguam Negara (AGC).
“Disebabkan oleh pandangan yang diberikan oleh AGC, yang kita bimbang, akhirnya kita tak dapat tangani isu kelompongan, maka “Kita mendahulukan mana yang lebih penting kita datangkan dulu RUU yang put aside first GEG. Bukan Kita lupakan terus GEG tapi memastikan RUU yang lebih ketat dalam pengawalan merokok ini,”
“Jika kita rasa ada keperluan untuk lihat kembali GEG ini, mungkin pada masa itu kita akan bawa kembali, tetapi saya tidak akan beri garis masa.
“Insya-Allah, kita tidak terus melupakan, cuma disebabkan pandangan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kita ketepikan dulu.
Beliau berkata demikian pada Sesi Taklimat Rang Undang-Undang RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan pengamal media di Parlimen siang tadi.
Malah, beliau mengakui keputusan tersebut mengundang pelbagai respon daripada pelbagai pihak.
Namun beliau memberi jaminan keperluan untuk memasukkan semula GEG akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan pada masa akan datang, berdasarkan keberkesanan RUU yang bakal dilaksanakan.
Di bawah RUU yang dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini, peruntukan berkaitan GEG digugurkan.
Berdasarkan RUU sebelum ini yang lebih dikenali sebagai RUU GEG, terdapat empat peruntukan berkaitan larangan itu yang dikenakan terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.
Dalam pada itu, pengurangan kompaun daripada RM1,000 ke RM500 dalam RUU yang baharu kerana KKM mengutamakan didikan kepada masyarakat.
“Ini supaya kita lebih kepada unsur mendidik anak-anak ini untuk kita pastikan mereka ini akhirnya kita capai kepada negara yang tanpa rokok.”
“Dia tidak hanya dengan perundangan, perundangan itu satu hal lah kita dah sediakan tetapi dari sudut lain lebih kepada pendidikan supaya ia lebih lekat di hati.”
Katanya, jika seseorang kanak-kanak itu didapati bersalah, jumlah kompaun yang dikenakan adalah berdasarkan budi bicara penguatkuasa yang terlibat dan biasanya ia melibatkan jumlah yang mampu dibayar pesalah.