Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penganiayaan Haiwan: Tambah baik undang-undang kebajikan haiwan, denda lebih berat


Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Undang-undang berkaitan kebajikan haiwan di negara ini dilihat perlu dinilai semula berdasarkan kepada statistik aduan jenayah terhadap haiwan yang diterima Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Langkah itu bagi membendung kezaliman terhadap haiwan peliharaan termasuk di jalanan selain memberi pengajaran, sebarang jenayah terhadap haiwan adalah perkara yang serius.

Laporan sebelum ini mendedahkan terdapat segelintir penjenayah yang mendera, mengabai dan menganiaya haiwan berkemungkinan mempunyai masalah mental.

Tidak cukup dengan nasihat dan penguatkuasaan undang-undang melalui Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), mereka juga peru dirawat.

Data DVS merekodkan sebanyak 7,907 aduan jenayah terhadap haiwan diterima sejak 2021 sehingga julai tahun ini.

Tahun lalu sahaja mencatatkan aduan kes tertinggi berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Pengarah DVS, Dr Akma Ngah Hamid yang ditemui Buletin TV3, pelbagai faktor mendorong kepada peningkatan aduan.

Antaranya aduan berulang, aduan tidak berasas dan aduan bukan di bawah Akta 772.

“Ada aduan yang diterima tidak boleh diambil tindakan oleh DVS kerana ia melibatkan bidang kuasa jabatan atau agensi lain. Berdasarkan data, jumlah keseluruhan aduan yang boleh dibuat tindakan pemeriksaan hanyalah sebanyak 4,210 aduan sahaja.” dedah Dr Akma kepada Buletin TV3.

Antara jenis aduan yang diterima termasuk menyepak, memukul, merantai haiwan dengan tali pendek, membakar dan membunuh.

Justeru, wujud gesaan agar hukuman lebih berat dikenakan termasuk mengkaji semula Akta 772.

“Kalau boleh hukuman yang kita kenakan kepada penderaan haiwan ini, ikut saya punya terma biasa sama dengan manusia.” kata Muhammad Khairul Hazwan Zulhaimi, Pekerja Swasta.

“Jika tiada tindakan, jenayah terhadap haiwan ini akan meningkat, bukan sahaja terhadap haiwan tetapi kanak-kanak dan wanita. Pihak berkuasa perlu ambil tindakan kerana orang takut dengan undang-undang supaya masa akan datang dapat mengurangkan jenayah seperti ini berlaku.” kata Angel Soo, Pengasuh Haiwan Peliharaan.

Dalam pada itu, Persatuan Haiwan Malaysia turut mencadangkan agar haiwan yang lazimnya menjadi peliharaan seperti kucing dan anjing didefinisikan sebagai tidak boleh dimakan oleh manusia di bawah undang-undang.

Ia bagi mengelak kekeliruan yang boleh dipertikaikan selain menyebaran penyakit berjangkit zoonotik yang memudaratkan.

“Akta pencegahan perlu diperkasa dan diperluaskan. Pandang serious apa yang berlaku kepada haiwan ini, jenayah haiwan ini sebenarnya titik permulaan kepada keparahan sosial dalam kejenayahan di negara ini nanti.” ujar Arie Dwi Andika, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia.

Penganalisis Jenayah Haiwan, Arie Dwi Andika

Masyarakat khususnya pencinta haiwan pula dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri jika berdepan dengan sebarang penderaan haiwan.

“Mereka ada kuasa untuk melapor tetapi jangan mengambil tindakan yang tidak mengikut peraturan itu yang amat kita perlukan daripada orang awam untuk membantu jabatan menjalankan siasatan.” tambah Dr. Akma

Dr Akma Ngah Hamid, Ketua Pengarah DVS

Untuk rekod, Selangor mencatatkan kes penderaan haiwan tertinggi iaitu lebih 3,000 kes, diikuti Kuala Lumpur lebih seribu berdasarkan data DVS.

Anjing, haiwan yang paling menjadi mangsa kepada kekejaman berkenaan dengan lebih 5,000 kes selain kucing hampir 2,000 kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini