Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Kezaliman mendera, mengabai, menganiaya haiwan peliharaan mahupun jalanan seperti anjing dan kucing di negara ini terus mencetuskan kebimbangan umum.
Di sebalik penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), kekejaman itu dilihat masih berleluasa dengan sebahagiannya dilakukan secara terbuka termasuk sengaja di-viralkan di media sosial.
Timbul persoalan, adakah perbuatan itu semakin menjadi kebiasaan segelintir individu atau ia ada kaitan dengan kesihatan mental si pelaku?
Membakar anak kucing, mengheret anjing dengan kenderaan, melapah bagi tujuan makanan serta mengisar puluhan ekor kucing di dalam rumah.
Itu antara kekejaman individu yang tidak berperikemanusiaan terhadap haiwan sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat.
Penganalisis Jenayah Haiwan, Arie Dwi Andika berpendapat trend itu dikhuatiri mendorong kepada kes jenayah yang lebih parah terutama terhadap manusia sendiri.
“Perkara ini bermula dengan haiwan dan mungkin jenayah ini akan merebak kepada manusia seperti mana berlaku di negara lain. kita tengok banyak kajian kes berkenaan Jeffry Dahmer, kes-kes yang melibatkan jenayah bersiri, pembunuhan bersiri dan sebagainya mereka memulakan praktikal itu dengan haiwan kecil. ini yang kita khuatiri di malaysia.” kata Arie kepada Buletin TV3.
Lebih menyedihkan penyeksaan terhadap haiwan tidak terhad kepada golongan dewasa, bahkan terdapat juga pelakunya terdiri daripada kanak-kanak serta remaja.
Arie yang juga presiden persatuan haiwan malaysia berkata, perbuatan membuang haiwan peliharaan di tempat awam juga merupakan satu jenis pengabaian yang salah di sisi undang-undang.
“Membuang haiwan seperti di pasar dan kaki lima premis, bukan saja boleh didakwa dibawah Akta 772, malah haiwan boleh terdedah dengan risiko kebuluran, penyakit dan lebih teruk kepada bahaya penderaan serta kezaliman oleh individu yang tidak berperikemanusiaan.” katanya.
Mungkin kita tidak tahu, meninggalkan haiwan di suatu tempat yang sehingga menyebabkan trauma, kesakitan atau penderitaan atas sebab penempatan semula, kebuluran, dahaga, kecederaan atau penyakit adalah satu kesalahan.
Ia jelas dalam Akta 772 yang menjaga kebajikan haiwan.
Sementara itu, Pakar Psikiatri turut mengakui sekiranya kekejaman terhadap haiwan tidak dihentikan, ia mampu mendorong si pelaku bertindak lebih agresif kepada manusia.
Tingkah laku mendera dan menganiaya haiwan tidak boleh dipandang enteng kerana ia merupakan petanda awal kepada masalah kesihatan mental – jika tidak dibendung.
“Kekejaman kepada haiwan kita tidak boleh ambil ringan sebab itu berpotensi melakukan benda yang lebih serius. haiwan sepatutnya kita sayang, kita patut tunjuk lebih nilai manusia kepada haiwan tetapi ia berpotensi membahayakan manusia juga.
“Mungkin dia ada gangguan dengar suara contohnya, saya pernah berdepan dengan kes seperti itu. jadi dia bunuh haiwan disebabkan ada bisikan. ia mendorong seseorang membuat sesuatu diluar jangkaan.” ujar Prof Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, Pakar Perunding Kanan Psikiatri (UM).
Tambahnya, faktor yang menekan seperti depresi dalam diri mampu mengundang si pelaku melepaskan perasaan negatif kepada haiwan.
“Paling dikhuatiri elemen anti-sosial sebab memang ada diagnosa dari segi perubatan psikatri antisosial personaliti ini biasanya dia buat sesuatu yang tak baik kepada orang lain dia tak rasa kasihan, tiada empati, kosong.
“Dia bunuh orang lain, dia tiada rasa apa-apa. Kelakuan seperti ini ada elemen antisosial disitu, tiada rasa empati. Tengok binatang kesakitan, dia gelak. Itu sesuatu yang tidak kena, memang jiwa dia sakit.” tambahnya.
Adakah mereka yang dikategorikan sakit mental ini mampu dirawat?
Klik pautan dibawah untuk membaca laporan kedua yang memperincikan cadangan bagi membendung kes jenayah terhadap haiwan ini.
[VIDEO] Penganiayaan Haiwan: Tambah baik undang-undang kebajikan haiwan, denda lebih berat
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.