comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penduduk pedalaman Sabah baiki sendiri paip bocor atasi masalah tekanan air

FOTO: NSTP/ Facebook DMB ADUN Kuamut

KOTA KINABALU: Kejadian paip bocor menjadi antara punca gangguan bekalan air yang sering dialami pengguna di Sabah, selain menyumbang kepada air tidak berhasil (NRW) yang ditanggung Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Menyedari perkara itu, sekumpulan penduduk Kampung Namukon di Tongod, kira-kira 300 kilometer dari Kota Kinabalu, mengambil inisiatif membaiki sendiri paip bocor yang menjejaskan tekanan air ke kampung mereka dan sekitarnya.

Meskipun tanggungjawab itu sepatutnya dilaksanakan pihak JANS, mereka tidak menunggu tindakan petugas dari jabatan berkenaan bagi memastikan masalah dihadapi penduduk kampung dapat diselesaikan segera.

Keprihatinan penduduk terbabit dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah yang memuji tindakan pantas belia di kampung berkenaan menyelesaikan masalah paip bocor itu.

‘Selesai dulu masalah bekalan air sebelum buru pengguna culas bayar bil’

“Tahniah kepada belia Kampung Namukon, Tongod kerana menjadi sebahagian daripada penyelesai masalah.

“Atas kesedaran masyarakat yang tinggi tanpa mengira ganjaran mereka turun secara sukarela membantu membaiki (welding) paip air JANS yang bocor dan mengganggu tekanan air kepada masyarakat kampung setempat,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook.

Tongod adalah sebuah daerah terpencil dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut dan Parlimen Kinabatangan yang terletak di tengah negeri Sabah.

Datuk Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) turut berkongsi beberapa video yang menunjukkan paip bocor dan belia Kampung Namukon sedang melakukan kerja mengimpal bagi menutup kebocoran paip.

Menerusi hantaran sama, beliau turut mengingatkan pihak JANS supaya tidak menjadikan amalan lambat bertindak sebagai budaya jabatan berkenaan.

“Apapun bukan pula menjadi amalan tradisi kepada Jabatan Air untuk tidak bertindak segera. Selepas ini bolehlah mereka ini (belia Kampung Namukon) diberi peluang menjadi kontraktor berdaftar di Jabatan Air,” katanya.

Pada tahun lalu, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyatakan bahawa kadar NRW di Sabah mencecah 60 peratus, kebanyakannya disebabkan paip bocor, selain kecurian atau penyambungan paip secara haram.

Loading...
Terkini