GUA MUSANG: Penduduk orang asli Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir kesal setelah pusat pelupusan sampah yang beroperasi di kawasan mereka didakwa tidak diurus secara sistematik.
Keadaan itu menyebabkan mereka terjejas dengan bau busuk dan keadaan kotor di jalan utama ke penempatan mereka.
Laluan tercemar longgokan sampah ini terpaksa ditempuh kira-kira 500 masyarakat orang asli kaum Bateq dan Mendriq di Kampung Pasir Linggi, setiap hari, serta guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi.
Timbunan sampah didakwa kerap melimpah di sebahagian jalan yang juga satu-satunya laluan penduduk untuk keluar ke Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan ke bandar.
Difahamkan, sisa buangan berkenaan dikutip di sekitar daerah Dabong, Kuala Krai yang bersempadan daerah Gua Musang.
Penduduk mendakwa, keadaan itu sudah lama berlarutan, namun ia makin teruk serta dibimbangi menyebabkan masalah kesihatan.
“Saya dah buat aduan saya telefon Majlis Daerah Dabong seingat saya lima kali x silap saya. Lepas tu dorang tak amik endah saya terus hubungi Kota Bharu. Kota Bharu pun dia cakap awak dah salah telefon,” kata penghulu, Harun Ismail.
“Setiap hari lalu jalan ni, siang malam pagi petang. Bawak anak2 pegi keluar untuk membeli makanan apa. Di sini banyak jgak macam babi, anjing, dan banyak lagi binatang yang makan sampah sisa sampah,” kata penduduk, Jamal Alias.
Sementara itu, ADUN Paloh, Amran Arifin memaklumkan langkah sementara diambil termasuk melaksanakan pembersihan laluan sepanjang sembilan kilometer di kawasan itu dalam tempoh terdekat.