TUMPAT: Tiga wanita dan seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke sebuah tali air di Kampung Talak, Chabang Empat, di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang semalam apabila kereta jenis Proton Saga yang dalam perjalanan ke Pasir Mas itu dikatakan ingin mengelak sebuah kenderaan di hadapannya yang ingin membelok ke kanan.
Tiga wanita dan seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke sebuah tali air di Kampung Talak, Chabang Empat. pic.twitter.com/hhAcAglmOj
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 10, 2024
Seorang saksi, Isma Alif Abdul Rahman, 37, berkata, ketika kejadian, dia berada di premis memproses laksa miliknya bersebelahan dengan tali air terbabit.
“Saya terdengar bunyi seakan brek kenderaan sebelum kedengaran sesuatu terhumban ke dalam air dan segera keluar dari kedai untuk melihat apa yang berlaku.
“Saya ternampak sebuah kereta di dalam tali air dan di dalamnya ada beberapa individu yang melambai-lambai tangan meminta tolong.
“Tanpa membuang masa, saya dan beberapa penduduk kampung bergegas untuk membantu dan ketika itu seorang lelaki yang juga pemandu kereta itu sudah berjaya keluar dan duduk di atas bumbung kereta,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Isma Alif berkata, dia dan penduduk kampung cuba menguis kereta itu agar menghampiri tebing sebelum cuba membuka pintu di sebelah penumpang hadapan kerana pintu yang lain seakan terkunci.
Katanya lagi, tiga wanita di tempat duduk belakang akhirnya berjaya keluar dengan dibantu penduduk kampung walaupun dalam keadaan basah kuyup.
“Mereka nampak ketakutan dan ada yang menangis, mungkin bimbang tenggelam kerana tali air ini agak dalam juga, kira-kira dua meter kedalamannya.
“Bagaimanapun mereka semua selamat manakala kereta itu sehingga kini masih di dalam tali air dan tidak pasti bila pemiliknya akan keluarkan,” katanya.
Terdahulu tular satu video berdurasi 1 minit 25 saat memaparkan penduduk kampung membantu mengeluarkan semua mangsa dari kenderaan yang terbabas masuk ke tali air.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit namun tiada laporan dibuat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.