comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penduduk Batang Kali terkejut berita penemuan Albertine

Oleh: Fareez Azman 

BATANG KALI: Penemuan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui di sebuah hotel bajet di Batang Kali, di sini, menggemparkan penduduk sekitar.

Menurut salah seorang pekerja premis menjual alat telekomunikasi, Fakhrullah Hariz, 26, beliau terkejut melihat beberapa kenderaan polis bersama Unit Forensik PDRM di hadapan hotel berkenaan.

“Kira-kira jam 10.40 pagi, nampak berderet kereta polis depan hotel tu. Ada kereta polis forensik, ada trak polis dan kereta-kereta lain.

“Saya masuk kerja jam 11, jadi saya duduk dalam kereta nak tengok apa jadi. Tapi tak nampak apa-apa, saya masuk ke kedai,” jelasnya.

Tambahnya, beliau mengetahui kes kanak-kanak itu hilang, namun terkejut apabila Albertine ditemui di hotel berhampiran tempat kerjanya.

“Pernah tengok pasal berita kanak-kanak tu di Johor kan masuk berita, saya pun repost dalam media sosial.

“Terkejut, sebab dia dijumpai dekat sini,” jelasnya ketika ditemui Buletin TV3, di sini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang juga pekerja kedai buku, Sarah Nadhirah, 26, turut terkejut melihat beberapa kenderaan polis di tempat kejadian pada jam 8.55 pagi tadi.

“Kiranya tahu pasal budak tu bila tengok berita, tapi tak tahu sampai sini.

“Nampak ada anggota forensik, polis, dalam jam 8.55 pagi.

“Kawan saya nampak, ada baju dengan beberapa barang. Saya tak perasan sangat, yang saya nampak macam ada baju mandi diletak di bawah. Nampak mcm ada penanda-penanda diletakkan,” katanya.

Mangsa, Albertine Leo ditemui di satu lokasi di Batang Kali, Selangor dalam keadaan selamat.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, mangsa ditemui bersama seorang suspek di sebuah hotel murah.

Suspek seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan dan siasatan awal mendapati, suspek tiada pertalian persaudaraan dengan keluarga mangsa.

Dalam pada itu pemerhatian Buletin TV3 di hotel berkenaan kira-kira jam 2.20 petang tadi, mendapati tiada pekerja berada di lokasi terbabit.

Pihak hotel juga enggan memberi sebarang komen mengenai kejadian yang berlaku sebaik dihubungi.

Kehilangan Albertine Leo Jia Hui disedari oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam, Sabtu lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini