Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pendidikan Kesihatan dan Reproduktif akan diberi tumpuan dalam Kurikulum Persekolahan 2027- KPM

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan dalam memperkasa pendidikan kesihatan dan reproduktif di sekolah dalam pelaksanaan kurikulum persekolahan 2027 akan datang.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini pendekatan intervensi sedang giat dilakukan bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam menangani isu tersebut.

“Pendekatan intervensi memang kita lakukan. Antara lain adalah pengenalan pada garis panduan garis panduan kementerian advokasi berkaitan dengan kesihatan reproduktif.

“Juga penambahan masa untuk pendidikan kurikulum pendidikan kita berkaitan dengan kesihatan reproductif ini akan kita diberi tumpuan untuk kurikulum yang akan 2027 akan datang.” katanya kepada Buletin TV3, baru-baru ini.

Beliau mengulas cadangan aktivis dan pendidik bagi memperkasa subjek pendidikan kesihatan dan reproduktif di sekolah.

Tambah Fadhlina, KPM juga telah melaksanakan pelbagai usaha antaranya memperkenalkan Modul Ehsan yang bertujuan menangani isu-isu berkaitan keselamatan dan kesejahteraan pelajar, termasuk masalah seksual dalam kalangan kanak-kanak di sekolah.

Ia memberi fokus pada aspek pencegahan, pendidikan, dan intervensi, dengan tujuan memberikan pelajar, guru, dan ibu bapa pengetahuan dan alat yang diperlukan untuk menangani dan mencegah kejadian berkaitan seksualiti yang tidak sesuai.

Sebelum ini, Buletin TV3 menerbitkan laporan khas pendedahan berkaitan isu seks bawah umur dan jangkitan HIV dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Dalam laporan khas tersebut, menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 yang diterbitkan tahun lalu mendedahkan lebih 154 ribu remaja bawah umur terlibat dengan aktiviti seksual.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini