Oleh: Aslina Abu Bakar
JELEBU: Lokasi kebun terpencil dan sukar dilalui kini berubah menjadi kebun pintar hasil kreativiti dan inovasi.
Mana tidaknya, sesiapa menjejakkan kaki ke kebun yang terletak di Kuala Klawang, di sini, pasti teruja melihat pengurusannya yang mengadaptasi teknologi tugasan dari jarak jauh.
Malah, siapa sangka kebun pintar ini diuruskan pemuda berusia 25 tahun.
Menurut Muhammad Rusydi Baharudin, dia mula bergiat aktif dalam pertanian dan penternakan ikan sejak 2020.
Sebelum ini dia dan ayahnya berulang-alik 30 kilometer setiap hari.
“Kebun ini terletak di tengah hutan, jadi kebanyakan kemudahan tiada termasuk kemudahan air dan eletrik.
“Jadi disebabkan kekurangan kemudahan itu kami terpaksa berfikir lebih jauh untuk memastikan kerja-kerja kami di sini dapat dijalankan dengan mudah.
Hasil pembelajaran di Youtube dan media sosial, Rusydi berjaya mencipta pam ram yang berfungsi secara graviti, mesra alam tanpa perlu bahan api atau elektrik.
Sistem siraman automatik bagi memastikan tanaman mendapat air secukupnya juga boleh diakses dengan hanya satu butang di telefon pintar.
“Permulaan masalah kebun ni adalah daripada haiwan liar yang makan tanaman dan pucuk pokok sehingga menyebabkan pokok itu mati.
“Disebabkan oleh itu kita cipta pagar elektrik menggunakan solar. Selepas tu masalah kedua kita adalah dari segi pemantauan, sebab kita tak boleh datang ke kebun setiap hari, jadi kita wujudkan satu sistem wifi yang menggunakan solar,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.
Tidak cukup dengan itu, pemantauan jarak jauh menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dengan kemudahan solar juga dibangunkan sendiri di kebunnya.
Malah teknik siraman yang dahulunya menggunakan kaedah manual dinaik taraf kepada sistem automatik.
“Daripada segi penjimatan kos satu dan penjimatan tenaga kerja sangat membantu, macam kebun ni guna sistem IOT. Kita guna wifi jadi kita boleh pantau dari jauh sekaligus tak perlukan tenaga manusia atau buruh.
“Malah kerja-kerja menyiram pokok, memberi ternakan makan juga boleh laksanakan dengan menggunakan telefon.
Bagi menjaga ternakannya pula, Rusydi berjaya mencipta mesin makanan ikan automatik, yang dikawal hanya dengan sentuhan jari.
Melalui kebun pintar ini, Rusydi berjaya membuktikan berbekalkan semangat dan keinginan mencuba, segala impian dapat dicapai tanpa batasan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.