KOTA BHARU: Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) menggantung tugas seorang pemandu yang memandu secara berbahaya di Lebuhraya Timur-Barat dekat Gerik, Perak baru-baru ini.
Pengerusinya Che Ibrahim Che Ismail berkata pemandu berusia 36 tahun itu digantung tugas serta merta semalam selepas video kejadian tular di media sosial.
Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) menggantung tugas seorang pemandu yang memandu secara berbahaya di Lebuhraya Timur-Barat dekat Gerik, Perak baru-baru ini. pic.twitter.com/OIQSwUxUV6
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) June 2, 2024
“Pemandu berkenaan kita gantung tugas serta merta selepas kejadian itu untuk membolehkan siasatan polis dijalankan.
“Saya akui sangat terkejut melihat video yang tular kerana ia membahayakan nyawa penumpang, namun apakan daya kami, kerana stereng di tangan mereka,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Katanya pemandu berkenaan sudah bekerja dengan Konsortium E-Mutiara sejak dua tahun lalu dan lelaki berkenaan juga diminta untuk mengemukakan surat tunjuk sebab bagi menjelaskan tindakannya itu.
Dalam pada itu katanya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik juga sudah memanggil pemandu terbabit untuk dirakam percakapannya.
Tambah Che Ibrahim pihak Konsortium E-Mutiara tidak akan berkompromi dengan sikap tidak bertanggungjawab mana-mana pemandu, dan
tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.
Terdahulu, tular video di aplikasi TikTok yang menyaksikan sebuah bas memotong sebuah lori dalam keadaan berbahaya di garisan berkembar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.