Oleh: Vinsla Santiran
KAJANG: Sambutan Thaipusam yang diraikan masyarakat hindu di seluruh negara, tidak lengkap tanpa elemen penting iaitu upacara kavadi sebagai tanda membayar nazar.
Pereka kavadi sering kali menghabiskan masa berbulan-bulan untuk merancang dan menampilkan kavadi yang unik dan selamat.
Meskipun terdapat berbagai-bagai jenis kavadi, pengusaha Shah Alam Siva Kavadi, Sevaraja Kaliyaperumal, 56, berazam untuk memelihara tradisi dengan hanya menghasilkan kavadi daripada bulu burung merak.
Sevaraja mempelajari seni berkenaan daripada mendiang bapanya kira-kira 26 tahun lepas.
“Proses pembentukan kavadi melibatkan beberapa langkah yang teliti dan memerlukan perancangan serta kemahiran yang tinggi.
“Bahagian pertama meliputi pembuatan Bar Badan, kedua adalah bahagian bulat atau struktur melengkung yang dipasang pada bahagian atas bar badan dan akhir sekali baru pemasangan kavadi,” katanya.
Satish raj, 26, berkata dia mula membantu bapanya sejak usia lapan tahun lagi dan kini mewarisi pembuatan kavadi itu.
Katanya menjadikan kavadi bulu merak kelihatan lebih menarik pada waktu malam, mereka menghiasinya dengan lampu LED.
Jelasnya, bukan hanya dalam aspek fizikal persediaan secara kerohanian turut dititikberatkan dalam tempoh penghasilan kavadi.
“Reka bentuknya, saya dan ayah akan duduk bersama untuk draf seperti ini, daripada itu, kita akan tentukan apa yang kita mahukan dan menambah serta membetulkan perkara-perkara yang perlu,” ujarnya.
Satish berkata setiap kavadi disewakan pada harga RM 850 hingga RM 1,400 menjelang sambutan Thaipusam.
Katanya, anggaran 1,000 hingga 3,000 helai bulu merak digunakan bagi menghasilkan sebuah kavadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.