Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Dalam usaha mendidik masyarakat agar cakna dan tidak melakukan penderaan terhadap kanak-kanak sehingga membunuh, satu pangkalan data berpusat perlu diwujudkan.
Data berkenaan akan berfungsi sebagai rujukan bagi memudahkan tindakan susulan selain kajian terperinci boleh dilakukan bagi mencari jalan keluar membendung jenayah yang tidak berperikemanusiaan itu.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Al-Sultan Abdullah, Prof Madya Dr Salmi Razali, tumpuan data berkenaan perlu bagi menjejaki motif terutamanya yang membabitkan jenayah membunuh anak sendiri atau filicide.
Kajian terhadap jenayah filicide di luar negara yang dilakukan pakar antarabangsa menyatakan terdapat tingkah laku berkenaan oleh ibu bapa.
Bagaimanapun di Malaysia, kekangan daripada segi pengumpulan data menyukarkan kajian menyeluruh dilakukan.
“Apabila kita kaji data-data yang ada itu berasingan letaknya. Contoh data untuk Neonaticide itu banyak pada pihak polis. Data untuk Infantcide di mana psikosis adalah penyebabnya banyak di Kementerian Kesihatan.
“Bila kita tidak duduk semeja untuk berbincang kes-kes ini ia susah lah untuk kita dapatkan satu kata putus apakah yang perlu kita buat,” kata Dr Salmi kepada Buletin TV3.
Menurutnya, berdasarkan data Bukit Aman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), statistik menunjukkan tiada penurunan kes yang signifikan dan ia amat membimbangkan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan pula berpendapat,
cadangan mewujudkan satu pangkalan data berpusat dianggap sebagai tepat bagi pihaknya bertindak daripada pelbagai sudut untuk mengurangkan kes berkenaan.
“Pihak polis berdasarkan rekod jenayah bermakna data kami lebih kepada laporan yang dibuat kes jenayah, kertas siasatan yang dibuka.
“Mungkin pihak hospital data mereka yang ingin mendapatkan rawatan, mungkin taknak buat report tapi terdera, dicederakan dalam situasi yang dia diabaikan so ada pihak yang membuat laporan begitu juga dengan JKM.
“Pada saya, hasrat untuk wujudkan satu data base itu satu perkara yang baik untuk kita dapat tengok banyak sudut,” ujar Siti Kamsiah.
Beliau turut menasihatkan orang ramai melaporkan sebarang kes penderaan walaupun ianya hanya penderaan emosi agar masyarakat dapat dididik, sebarang bentuk penderaan adalah salah dan tidak menjadi kebiasaan.
Saya kemudiannya bertemu dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Ujarnya, beliau sendiri ada meminta pangkalan data berpusat berkenaan diwujudkan segera.
“Kalau nak wujudkan cepat, memang itu yang kita perlukan. Tetapi Perbincangan kita bukan hanya dalam kementerian kita sahaja perlu berbincang dengan kementerian yang berkaitan khususnya KKM dan KDN.
“Ini kalau ada persetujuan semua dan menguruskan dengan profesional yang buat data itu. Jadi kalau nak bila, kalau boleh nak cepat sebab ia akan memudahkan semua,” katanya.
Datuk Seri Nancy turut mendedahkan, lebih 14,000 kes melibatkan ibu bapa yang menyebabkan kanak-kanak tidak diberi pemeliharaan dan perlindungan sejak 2020 hingga Mac tahun ini.
Statistik yang dikeluarkan JKM ini menyaksikan jumlah tertinggi direkodkan tahun lalu dengan 3,385 kes.
Cadangan mewujudkan pangkalan data berpusat bagi membendung kes jenayah terhadap kanak-kanak ini disifatkan antara langkah yang dapat membantu kepada penyelesaian proaktif.
Ia membabitkan kerjasama pelbagai pihak, selain ahli keluarga, masyarakat, badan bukan kerajaan serta kerajaan yang turut berperanan mengatasinya secara efisyen dan berkesan, dengan menerapkan bukan sahaja tindakan lebih tegas terhadap pesalah, malah advokasi dalam pencegahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa