Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Orkid hibrid ‘VIP’ bukanlah nama sebenar, sebaliknya orkid hibrid baharu yang dinamakan sempena individu penting dalam negara.
Penghasilannya melalui kacukan genetik dua induk berbeza mengambil masa bertahun bagi mendapatkan karakter memukau seperti warna yang menyerlah, saiz kelopak yang besar dan berbunga dalam tempoh yang panjang.
Karakter orkid ‘VIP’
Setiap orkid ‘VIP’ mempunyai ciri dan nilai yang menggambarkan individu yang diambil namanya antaranya berwarna Diraja seperti kuning atau menyerlah seperti merah, putih dan ungu.
Menurut Pegawai Pertanian Perbadanan Putrajaya, Mohamad Nazrin Ahmad Azmi, orkid yang diberikan nama Vandachostylis Queen Zarith Sofiah misalnya, mempunyai sifat unik melambangkan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
“Bersempena Seri Paduka Baginda, kita perlukan orkid hibrid yang menggambarkan nilai-nilai kemuliaan, simbolisme kepada negara.
“Maka, apabila kita pilih orkid itu, dia mestilah mempunyai bunga yang besar dan ‘striking’ ataupun unik.
“Selepas itu kita juga pilih orkid hibrid yang bergantung pada warna. Seperti yang kita tahu warna kuning emas, merah, putih, biru ataupun ungu yang paling hampir dengan biru untuk melambangkan inilah kita punya raja-raja,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.
Eksperimen cuba dan ralat
Namun begitu, untuk mendapatkan satu orkid hibrid yang baharu bukannya mudah dan prosesnya boleh memakan masa bertahun-tahun.
“Proses hibrid orkid ini, dia lebih kepada eksperimen. Jadi, kita akan lakukan ‘trial and error’ sebab belum tentu kalau kita sudah dapat orkid hibrid yang baru, apabila kita nak menggandakan dia dah tak boleh, dia tidak keluar biji benih.
“Jadi kita tak dapat juga anak-anak pokok dia. Selepas itu, kita kena kacuk semula induk A dengan induk B ini, tak dapat pula ciri yang kita nak mula-mula tadi.
“Sebab itu dia lebih kepada sains dan faktor-faktor genetik. Itulah cabaran terbesar untuk orkid hibrid ini, ” ujarnya.
Justeru, setiap orkid ‘VIP’ disimpan di ruang khas di Taman Botani Putrajaya dan akan dipamerkan kepada awam pada acara-acara khusus,” ujarnya lagi.
Orkid bukan sekadar hobi
Bagi peminat tumbuhan eksotik itu, penjagaannya tidak dianggap renyah dan bukan sekadar hobi.
Roslina Othman, 57, berkata, dia merasakan orkid merupakan satu terapi menghilangkan stres.
“Bila balik daripada kerja, kita tengok bunga kita itu ada bunga warna-warni jadi stres di tempat kerja itu kita dapat hilangkan sikit. Jadi rasa, oh tenangnya tengok bunga kita,” katanya.
Manakala, Misliah Johari, 66, merasakan menjaga orkid itu mudah, asalkan mengetahui caranya yang betul.
“Orang katakan, jaga orkid ini susah tapi sebenarnya bukan susah, senang sahaja yang penting kita tahu mediumnya arang, kayu reput dan siramnya sekali sahaja. Jika hujan tak perlu siram.”
“Lama-lama kita jaga, dapat tengok bunga berkembang mekar, tenang jadinya,” jelasnya.
Untuk rekod, Malaysia tidak mempunyai statistik orkid hibrid secara rasmi.
Namun, dek jumlah peminatnya yang meningkat saban tahun, banyak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil inisiatif mewujudkan laman orkid sendiri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.