SUNGAI PETANI: Orang ramai yang mengunjungi Dataran Jam Besar, di sini cemas dan bertempiaran lari sebaik terdengar letupan bunga api dan mercun di kawasan itu, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku sekitar jam 4.48 pagi itu menyebabkan pengunjung dan peniaga di kawasan itu ketakutan selepas melihat letupan menjadi tidak terkawal.
Berdasarkan video kejadian yang ditular hari ini, beberapa individu kelihatan bermain bunga api di tepi jalan sebelum letupan itu menjadi tidak terkawal menyebabkan ia meletup di bawah.
Orang ramai yang mengunjungi Dataran Jam Besar, cemas dan bertempiaran lari sebaik terdengar letupan bunga api dan mercun di kawasan itu, awal pagi tadi. pic.twitter.com/gPtq6P7lGJ
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) April 9, 2024
Difahamkan, letupan merebak selepas percikan bunga api itu turut mengakibatkan sejumlah bunga api dan mercun yang terletak berhampiran turut meletup sama.
Video berdurasi lebih dua minit itu menunjukkan orang ramai kelihatan panik sebelum melarikan diri untuk mengalihkan kenderaan masing-masing dari kawasan itu.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam kenyataannya berkata, pihaknya hanya menerima panggilan berhubung kes kebakaran sampah di kawasan bazar Aidilfitri Dataran Jam Besar, di sini pada jam 4.55 pagi tadi.
Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengingatkan orang ramai supaya tidak bermain mercun dan menjaga keselamatan diri dan harta benda dengan baik.
Beliau berkata, sebanyak 123 permit atau lesen berniaga bunga api diluluskan pada musim perayaan Aidilfitri ini.
“Sehingga 6 April lalu, sebanyak 86 pemeriksaan dijalankan di seluruh daerah di negeri ini.
“Dalam tempoh yang sama juga pihak polis menerima 17 kes dan 4 tangkapan berkaitan Akta Bahan Letupan sepanjang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
“Pihak polis akan membuat pemeriksaan ke atas semua penjual bunga api bagi memastikan mereka mematuhi syarat permit yang diluluskan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.