comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Operasi mengeluarkan tiga mangsa runtuhan ambil masa lebih sejam 

MACHANG: Identiti tiga pekerja warga Bangladesh yang maut tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di tapak projek pembinaan jalan baharu di Kampung Maka, Labok dekat Pulai Chondong, tengah hari tadi dikenal pasti.

Mangsa maut ialah Jahidul Khan dan Md Sajjad Hossain masing-masing berusia 20 tahun manakala seorang lagi adalah Munirul, 31.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, lebih kurang jam 1.30 petang, ke semua mangsa sedang bekerja dalam parit salur air berkedalaman kira-kira 4.8 meter.

Katanya, secara tiba-tiba berlaku runtuhan tebing tanah lalu menimpa ketiga-tiga mangsa.

“Operasi menggali mayat mangsa dijalankan oleh pihak bomba dan penyelamat dengan bantuan jentolak bermula jam 2 petang dan kesemua mangsa yang tertimbus berjaya dikeluarkan.

“Ke semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Ahmad Alfarra Mohamad Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.44 petang dan tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudian.

Katanya, seramai sembilan anggota termasuk dua pegawai bergegas ke lokasi kejadian dan terdapat tiga mangsa lelaki warga Bangladesh tertimbus di dalam tanah akibat runtuhan.

“Pihak kami mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kesemua mayat di mana mangsa pertama dijumpai pada jam 2.49 petang dan mayat kedua pula pada jam 3.39 petang.

“Manakala mayat terakhir ditemui pada jam 3.50 petang sebelum operasi ditamatkan.”Kesemua mangsa disahkan meninggal oleh pegawai kementerian kesihatan dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Loading...
Terkini