GEORGE TOWN: Gerakan membantah projek pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar tidak menolak akan menggunakan langkah provokatif termasuk berkampung di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang masih ingin meneruskan projek itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar, Prof Datuk Dr Muhammad Idiris Saleh berkata pihaknya setakat ini masih menggunakan pendekatan diplomasi namun tidak dapat menghalang apa jua bentuk tindakan yang diambil penduduk sebagai tanda protes terhadap projek berkenaan.
Gerakan membantah projek pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar tidak menolak akan menggunakan langkah provokatif termasuk berkampung di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang masih ingin meneruskan projek itu. pic.twitter.com/b6tu80hF50
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 30, 2024
“Rundingan sudah dibuat, dengan persatuan serta pertubuhan lain yang menyokong kita masih mengikut landasan yang saya bawa menggunakan pendekatan diplomasi tetapi kalau keputusan masih tidak memihak kepada kita, mungkin hala tuju bantahan akan menggunakan cara lain,” katanya.
Tambah Dr Muhammad Idiris pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri pada 9 Januari lalu tetapi sehingga ke hari ini masih belum mendapat kata putus sama ada projek itu akan dibatalkan atau tidak.
Terdahulu Dr Muhammad Idiris hadir bagi memberi sokongan terhadap lebih 30 individu yang mewakili lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow bagi mendesak projek itu dibatalkan.
Ia diterima Pegawai Penerangan Bahagian Kerajaan Negeri Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul.
Jurucakapnya kumpulan itu, Ahmad Yakqub berkata lebih 5,000 anggota NGO berkenaan termasuk daripada Pertubuhan Seni Silat Merong Mahawangsa, Pertubuhan Seni Silat Gayong Penggerak dan Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad tinggal di sekitar tapak cadangan membangunkan asrama berkenaan.
Beliau menyifatkan memorandum tersebut menunjukkan pihaknya masih membuka pintu rundingan secara aman dengan kerajaan negeri berhubung desakan membatalkan projek yang dikhuatiri memberi impak sosial negatif kepada penduduk setempat.
“Jadi, jangan sampai kami bermalam di bangunan KOMTAR. 10 hari sambil bakar ikan setiap malam. Kami boleh melakukannya dan kami pernah mengambil tindakan protes seumpama itu untuk siri bantahan isu lain beberapa tahun lalu,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri perlu memandang serius isu itu tambahan pula projek itu turut dibantah Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kerajaan negeri.
Media pada Disember lalu melaporkan lebih 1,000 penduduk di Teluk Kumbar mengadakan demonstrasi menolak projek pembinaan asrama pekerja yang mampu memuatkan lebih 30,000 pekerja asing di kawasan tersebut.
Susulan itu, Ketua Menteri Kon Yeow memberi penjelasan, projek asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar yang dibantah sebenarnya mempunyai kapasiti 7,860 berbanding jumlah yang dinyatakan penduduk.
Media turut melaporkan cadangan membina asrama di lot 1859, 1860 dan 1865 berhampiran Bandar Baru Perda hanya berkeluasan kira-kira 0.83 hektar dan jarak paling hampir dengan rumah penduduk ialah 100 meter sebagai tidak masuk akal selain tiada sesi pertemuan, libat urus bersama penduduk sebelum rancangan itu dikemukakan.
Bagaimanapun, difahamkan cadangan pembinaan asrama 27 tingkat itu telah mendapat kebenaran merancang secara bersyarat dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.