comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Nahas bas-treler: Dipercayai berlaku setelah pemandu bas dikatakan hilang kawalan – Polis 

MUADZAM SHAH: “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dalam keadaan gelap di simpang tiga Bahau apabila bas yang hilang kawalan itu melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi, sebelum terbalik di cerun jalan,” kata Ketua Polis Daerah Rompin DSP Nor Azman Yusof.

Nor Azman berkata tiga maut manakala 36 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini, awal pagi tadi.

Katanya kejadian berlaku semasa bas membawa 39 orang termasuk dua pemandu itu dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras sekitar pukul 1 pagi.

Beliau berkata yang maut di tempat kejadian ialah seorang guru Hasnatul Adilah Hassan, 48, manakala pemandu kedua bas berkenaan Hadi Asyraf Mad Idris, 29, meninggal dunia semasa di bawa ke hospital, dan seorang pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Beliau berkata mereka yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan HTAA untuk menerima rawatan.Nor Azman seterusnya meminta saksi kejadian supaya tampil membantu pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini