Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Menjelang Belanjawan 2025: Cadangan pelepasan cukai untuk pemilik haiwan peliharaan


Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

SHAH ALAM: Memelihara dan menjaga kebajikan haiwan peliharaan memerlukan perbelanjaan yang konsisten oleh pemilik.

Justeru, bagi pencinta haiwan di negara ini, pemberian subsidi termasuk pemotongan cukai pendapatan dilihat mampu mengurangkan beban kos yang ditanggung.

Walaupun menjaga haiwan atas kerelaan, tetapi kos makanan, keperluan serta rawatan ketika ini boleh dianggap tinggi.

Pasangan suami isteri jaga lebih 28 kucing lumpuh, buta

Bagi pasangan suami isteri ini, mereka memelihara lebih 50 ekor kucing termasuk sebahagiannya merupakan kucing jalanan.

Ada di antaranya lumpuh dan buta akibat pelbagai faktor termasuk penderaan dan pengabaian.

“Seminggu saya habiskan diantara RM1200 hingga RM1400 dimana mereka perlukan lampin pakai buang dalam 10 paket, makanan 12 kilogram dan tidak termasuk makanan basah dan suplemen.

Nur Hanariawati Mohd Najib, pemilik kucing kurang upaya.

“Kos perubatan pula kalau bil itu dibawah RM1500, insya Allah saya usahakan bayaran dengan duit sendiri, kalau lebih saya terpaksa minta bantuan daripada kawan-kawan.” kata Nur Hanariawati Mohd Najib, pemilik kucing kurang upaya kepada Buletin TV3.

Namun, sebagai pengasuh kucing atau ‘pet sitter’ sepenuh masa, mereka terpaksa berbelanja lebih atas sebab ihsan dan sayang terhadap haiwan.

Berdasarkan Laporan Pengguna 2023 yang disiarkan Standard Insights, 51.1 peratus daripada lebih seribu isi rumah di negara ini mempunyai haiwan peliharaan.

Daripada jumlah itu, 26.4 peratus mempunyai lebih dari satu haiwan peliharaan. Kucing merekodkan lebih 77 peratus, manakala 14.9 peratus anjing.

Isu lambakan haiwan terbiar yang tidak terkawal

Sementara itu, isu lambakan haiwan terbiar di jalanan disifatkan pakar, membimbangkan.

Ia mengundang pelbagai implikasi negatif termasuk penyebaran penyakit seperti rabies dan kacau ganggu.

Selain terdedah dengan jenayah pengabaian dan penderaan haiwan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Bila dah membiak, dan pemilik tidak mampu menjaga mereka sama ada akan ambik mak sahaja, atau buang anak atau mak sebab tak larat nak tanggung beban.

Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali, Doktor Veterinar.

“Kebanyakkan kes lambakan populasi haiwan ini sebenarnya berpunca dari pemilik itu sendiri, kita tak dapat kawal dan sebab itu bila tidak mampu, kita lepaskan (keluar).” jelas Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali, Doktor Veterinar yang ditemui Buletin TV3.

Oleh itu, kaedah pengkasian atau pemandulan dilihat dapat mengurangkan lambakan haiwan tersebut dengan cara yang lebih berperikemanusian.

Beri pengecualian cukai pendapatan, subsidi bagi mengatasi isu lambakan haiwan terbiar

Menjelang pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat depan, dua isu membabitkan peningkatan kos haiwan peliharaan dan lambakan haiwan terbiar di jalanan wajar diberi perhatian.

“Pengecualian cukai pendapatan, wujud subsidi beri kemudahan potongan harga atau bantuan supaya masyarakat boleh memandulkan kucing dengan harga mampu.

Arie Dwi Andika, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia.

“Masyarakat mahu membantu kerajaan tetapi dengan syarakat mereka harus mampu, sebab kalau tidak selesaikan dengan cara begini, saya nampak kerajaan akan menanggung beban.” ujar Arie Dwi Andika, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini