comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mendapan tanah: SAR dihentikan, operasi beralih ke fasa ‘Search & Recovery”


Oleh: Siti khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden mendapan tanah di Jalan Masjid India dihentikan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, operasi kini memasuki fasa ‘Search and Recovery” yang akan diselia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ujarnya, keputusan dilakukan selepas mengambil kira pandangan pihak yang arif berhubung insiden itu.

“Keputusan yang kita ambil rentetan daripada laporan yang telah saya laporkan kepada kabinet tentang peristiwa yang berlaku dan keputusan yang diambil telah mendapat pandangan daripada sudut pakar sebelum kita mengambil apa-apa keputusan.

“Oleh kerana itu setelah kita menumpukan semua bentuk kepakaran yang ada termasuk dari pihak PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM),  Indah Water Konsortium (IWK), Pakar Geologi dan Agensi Nuklear dan pelbagai lagi telah diambil pandangan dan kita telah membuat keputusan untuk kita memberhentikan SAR pada hari ini,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian di Jalan Masjid India.

Mengulas mengenai faktor utama kepada penamatan SAR itu, beliau berkata isu keselamatan dan risiko kepada pasukan SAR antara yang diutamakan pihaknya, selain keselamatan kawasan sekitar insiden.

“Kita telah mendapat beberapa laporan tapi yang agak memberi kesan ialah apabila kita diberitahu apabila ada objek dalam saluran IWK itu walaupun objek itu tidaklah menunjukkan atau mengesahkan itu adalah mangsa tetapi disebabkan keselamatan.

“Keselamatan ini ada beberapa perkara yang kita tengok, iaitu pertamanya keselamatan kepada pasukan SAR yang turun ke bawah untuk mencari mangsa dari sudut keselamatan, kesihatan dan ada juga kemungkinan arus yang agak deras dan sebagainya yang boleh membahayakan keselamatan anggota kita yang turun ke bawah

“Seperti yang kita tahu kita telah melihat kesan mendapan kedua. Ini juga memberi kita satu keadaan yang membimbangkan,”tambahnya lagi.

Menurut beliau aktiviti perniagaan dalam lingkungan jarak 100 meter dari kawasan insiden juga akan dihentikan serta merta.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India Vijaya Lakshmi Gali, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden mendapan tanah di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini