KUALA LUMPUR: Sebuah lori tangki muatan minyak sawit terbakar selepas gagal mengelak dan terlanggar sebuah kereta di kilometer 44.6 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah, ELITE siang tadi.
Lori tangki berkenaan kemudian terbabas melanggar penghadang jalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
Video detik cemas lori yang terbabas ke laluan bertentangan dan terbakar itu turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari.
View this post on Instagram
Hasil siasatan, kemalangan berlaku apabila lori tangki muatan minyak sawit yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun dalam perjalanan dari Jasin, Melaka ke Klang, Selangor.
Lori tangki itu dikatakan gagal dikawal lalu melanggar sebuah kereta di lorong kanan menyebabkannya berpusing dan melintang di tengah lebuh raya.
Lori tangki tersebut kemudian melanggar besi penghadang jalan sehingga memasuki laluan arah bertentangan dan berhenti di lorong kecemasan dalam keadaan terbakar.
Dua pengguna jalan raya sempat mengelak lori tangki yang sedang terbakar.
Akibat kemalangan itu, dua kereta dari arah bertentangan terlanggar serpihan kenderaan yang berterabur di atas lebuhraya.
Seorang pemandu kereta berusia 21 tahun mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 kurungan satu, Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.