GEORGE TOWN: Lima individu cedera apabila sebuah kereta tiba-tiba memasuki laluan bertentangan di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, malam tadi.
Keseluruhan, tiga buah kereta dan sebuah motosikal terbabit dalam kemalangan itu.
Pemilik satu daripada kenderaan terbabit tiada di lokasi sebaik kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fairol Mahazi Malek berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.35 malam.
Katanya, seramai 10 anggota bomba segera dikerahkan ke lokasi.
Lima individu cedera apabila sebuah kereta tiba-tiba memasuki laluan bertentangan di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, malam tadi. pic.twitter.com/UR0vpe5Sxb
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) May 15, 2024
“Sebaik tiba, didapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan sebuah motosikal. Tiga mangsa didapati cedera parah dan dua lagi cedera di bahagian badan manakala seorang lagi mangsa tiada di lokasi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Fairol Mahazi berkata pasukan penyelamat mengeluarkan pemandu wanita yang tersepit menggunakan peralatan khas.
Katanya, penugasan terbabit mengambil masa kira-kira 15 minit berikutan keadaan kenderaannya yang rosak teruk dalam kemalangan itu.
Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kejadian terbabit turut tular di media sosial menerusi video yang dirakam menerusi kamera papan pemuka.
Video berkenaan memaparkan sebuah kereta dari arah George Town terbabas memasuki laluan bertentangan dari arah Bayan Lepas sebelum berlaku pelanggaran dengan kenderaan lain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.