comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Letusan Gunung Ruang: Ratusan penumpang terkandas di KKIA


KOTA KINABALU: Ratusan penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia.

Tinjauan Buletin TV3 di KKIA mendapati, ruang kaunter tiket pelepasan dikerumuni penumpang yang mahu mendapatkan maklumat terkini mengenai status penerbangan mereka.

Rata-rata penumpang terjejas menunggu sejak awal pagi tadi, bagi mendapatkan perubahan maklumat serta perkembangan terkini berhubung status pembatalan penerbangan masing-masing.

Penumpang bagaimanapun menerima notifikasi lebih awal mengenai pembatalan berkenaan.

Terdahulu, sebanyak 11 penerbangan Sabah dan Kuala Lumpur dibatalkan oleh Malaysia Airlines.

AirAsia pula membatalkan 16 penerbangan, dengan semua penumpang terjejas boleh membuat perubahan sekali kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu, dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan yang sama tanpa kos tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan letusan Gunung Ruang.

Gunung berapi yang terletak di Pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado itu meletus lebih tiga kali sejak semalam.

Rakaman menunjukkan aliran lava merah mengalir menuruni gunung dan ia dipantulkan di permukaan air serta asap kelabu berkepul di atas kawahnya.

Pulau Ruang adalah rumah kepada 838 penduduk, kebanyakan mereka dipindahkan ke Pulau Tagulandang terdekat.

Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini