Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Laporan tahap penilaian keselamatan akan diperolehi dalam tempoh 2 minggu

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Bangunan komersial empat tingkat di Kuchai Lama di sini yang runtuh bumbung strukturnya semalam akan ditutup sehingga laporan penilaian tahap keselamatan diperolehi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata laporan tersebut akan diperolehi sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu.

“Badan dah lantik konsultan, dan kita serah kepada pihak konsultan untuk jalankan tugas mereka.”

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid

“Insya-Allah dalam paling tidak dalam dua minggu kita akan dapat laporan dan kemudiannya kita ambil dari situ untuk membuat keputusan. Sekarang kita tak boleh putuskan apa-apa setakat ini,” katanya kepada Buletin TV3 selepas meninjau lokasi kejadian di sini, pagi tadi.

Turut hadir meninjau Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor.

Tambahnya, pihaknya masih membuat pemantauan keselamatan di kawasan bangunan ini bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh

Bagaimanapun katanya, penghuni rumah kedai di sini selain aras empat masih boleh masuk untuk mengambil barang mereka dengan kebenaran pihak polis.

Semalam, polis memberitahu aras empat bangunan ini tidak selamat untuk dimasuki sehingga laporan keselamatan diperolehi.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata Blok B yang terletak bersebelahan juga akan dinilai tahap keselamatan strukturnya.

“Kita akan keluarkan surat melalui Jabatan Kawalan Bangunan supaya buat penilaian untuk lantik juru runding sebab kita takut sekiranya perkara yang sama akan berlaku.” ujarnya.

Kelmarin, sekurang-kurangnya 10 kenderaan rosak teruk apabila struktur rasuk pada bumbung di Blok A, Bangunan Sri Desa Kuchai di Kuchai Entreprenuers Park, runtuh.

Loading...
Terkini