Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Laporan Khas: Peranan pasukan forensik mampu heret pelaku jenayah ke muka pengadilan

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap sesuatu kes jenayah khususnya melibatkan kes berprofil tinggi sering kali berdepan cabaran dan kesukaran yang tersendiri dalam mengumpul bahan bukti.

Unit Forensik atau lebih dikenali sebagai pasukan D10 Bukit Aman antara unit yang memainkan peranan penting dalam menentukan si pelaku jenayah dibawa ke muka pengadilan.

Peranan yang mungkin jarang diketengahkan namun proses siasatan pasukan itu juga mampu menjadi penentu terhadap penglibatan seseorang suspek dalam sesuatu kes.

Seiring dengan perkembangan teknologi, siasatan juga menunut peralatan canggih seiring dengan trend semasa jenayah.

Kelengkapan itu sememangnya diperlukan bagi memastikan tiada individu yang terlepas daripada perbuatan jenayah yang telah dilakukan.

SUPT. Saroja Egamparam, Pegawai Kepolisan Am Forensik

Bagi Superintenden Saroja Egamparam, meskipun teknologi telah menguasai segalanya, namun beliau akui aspek pengalaman penting dalam menentukan sesuatu kes.

Ini termasuk kebijaksanaan dalam memahami lokasi kejadian bagi sesuatu kes jenayah.

“Lokasi kes jenayah ini kita tahu memang bukan kawasan yang bersih, kebiasaannya akan ada kesan darah di serata tempat. Ada kalanya kita sendiri pun tidak tahu itu merupakan lokasi berlakunya kes jenayah.

“Apa yang penting, pengalaman perlu ada untuk kita tahu bagaimana untuk kumpul bukti-bukti yang khusus bagi sesetiap kawasan.

“Mungkin ramai yang tak tahu, kepakaran seperti itu memang ada dalam jabatan kita (D10) terutamanya kes jenayah berat.

“Kelebihan pasukan ini adalah apa jua bentuk bahan bukti yang kita jumpa, ia mampu dibawa ke mahkamah yang akan kuatkan proses pendakwaan terhadap suspek di mahkamah,” katanya kepada Buletin TV3.

Tidak hanya tertumpu kepada kes jenayah, pasukan D10 juga diperlukan dalam situasi bencana termasuklah tragedi besar.

Penugasan yang menuntut untuk berdepan dengan mayat mungkin agar mencabar di peringkat awal, namun lama kelamaan ia ibarat sudah menjadi sebati dengan diri.

ASP Wan Amir Ikmal Wan Mohamad, Pegawai Siasatan Tempat Kejadian

Bagi ASP Wan Amir Ikmal Wan Mohamad, insiden seperti pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam dua tahun lalu sememangnya pengalaman yang sukar dilupakan.

“Kalau kali pertama memang boleh muntah (penemuan mayat) tapi bila dah lama tu kita akan jadi biasalah. Keadaan mayat berbeza-beza, ada yang dah mula bau, reput, jadi ini semua cabaran untuk pasukan ini.

“Cabaran utama kita misalnya kes pesawat terhempas di Elmina, kita perlu kumpulan serpihan mayat-mayat mangsa kerana dia bertebaran di serata tempat.

“Lebih mencabar, situasi ketika itu sudah agak gelap tetapi dalam masa yang sama pencarian perlu diteruskan. Serpihan mayat ada dalam jarak 50 hingga 100 meter jadi itu cabaran untuk pasukan kami,” ujarnya yang ditemui Buletin TV3.

Realiti yang mungkin tidak diketahui umum, pasukan itu sebenarnya mempunyai unit yang pelbagai antaranya cap jari, analisa peluru, DNA, dan sebagainya.

Secara keseluruhan, kebolehan pasukan itu boleh dikatakan agak kedepan bersama dengan teknologi yang digunapakai dalam mempercepatkan proses memburu si pelaku.

Kelibat yang mungkin jarang dilihat namun sumbangan mereka bagi sesetiap kes amatlah penting dalam memastikan seseorang mangsa dalam kes jenayah memperoleh keadilan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini