comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Klip CCTV didakwa serangan asid terhadap Faisal Halim tular di media sosial

Tangkap layar CCTV di media sosial didakwa berkaitan kejadian serangan asid.

KUALA LUMPUR: Satu klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial didakwa berkaitan kejadian serangan asid membabitkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara, 5 Mei lalu.

Klip rakaman CCTV berdurasi 56 saat itu dikesan mulai ditularkan oleh beberapa pemilik akaun laman X, hari ini.

Dalam klip rakaman kelihatan seorang lelaki disyaki penyerang dalam kejadian itu bersembunyi di belakang sebuah kenderaan di tempat parkir kenderaan sebuah bangunan.

Kemudian kelihatan kelibat seorang lelaki dipercayai Faisal sedang berjalan diekori seorang wanita di belakang dipercayai isterinya menuju ke arah sebuah kereta.

Lelaki yang bersembunyi di belakang kenderaan itu kemudian keluar dari belakang kenderaan dan mengekori lelaki dipercayai Faisal sebelum menyimbah sesuatu ke arahnya sebanyak dua kali.

Lelaki dipercayai Faisal cuba mengelak daripada terkena simbahan sebelum dilihat lari dari tempat kejadian untuk menyelamatkan diri.

Penyerang yang bertopi dan berpelitup muka itu kemudian melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki yang siap sedia menunggunya tidak jauh dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, pihak polis masih belum mengesahkan kesahihan klip rakaman CCTV berkenaan.

Pada 5 Mei lalu, negara digemparkan dengan insiden simbah asid membabitkan Faisal menyebabkan tonggak utama Harimau Malaya berusia 26 tahun itu cedera melecur tahap empat.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5 petang itu didalangi dua individu bermotosikal.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan Unit Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan lapan kesan cap di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan Faisal Halim, namun hanya tiga cap jari sahaja cukup sifatnya.

Menurutnya, hasil lapan cap jari yang dianalisa itu, limanya tidak cukup sifat manakala tiga lagi cukup sifat.

Bagaimanapun semakan dalam sistem pangkalan data mendapati tidak timbul padanan dengan cap jari cukup sifat itu.

Media sebelum ini melaporkan polis sedang menganalisa cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, hasil semakan CCTV di sekitar pusat beli belah didapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat sehingga meninggalkan cap jari.

PDRM baru-baru ini turut mengedarkan satu lakaran fotofit suspek yang dikenal pasti memakai topi celoreng tentera dan pelitup muka bercorak ketika kejadian.

Selain itu, suspek dianggarkan berusia 30 tahun, berketinggian 165 sentimeter (sm) dengan saiz susuk badan sederhana dan berkulit sawo matang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini