KUALA LUMPUR: Konvensyen sulung Kerajaan Perpaduan berakhir dengan iltizam untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai gergasi ekonomi baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sokongan majoriti besar di Dewan Rakyat terhadap kerajaan pimpinannya tidak akan dipersiakan untuk kepentingan sempit.
Sebaliknya, kuasa politik itu akan digunakan untuk menguruskan khazanah negara bagi membela rakyat dan memacu pertumbuhan negara.
Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) siang tadi dipenuhi ribuan perwakilan daripada 19 parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar.
Berhimpun bagi menggariskan iltizam memperkukuhan hubungan sesama parti, mereka tekad menangani apa jua perbezaan secara matang, demi kepentingan rakyat.
Mesej perpaduan, permuafakatan dan kerjasama erat demi rakyat ditekankan Datuk Seri Anwar selaku Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan.
“Apa erti perpaduan? Apa erti kerajaan yg kukuh? Dengan kekuatan 2/3 utk apa? untuk sombong?utk tunjuk angkuh zalim menindas atau memunggah kerajaan? saya jawab utk bangunkan semula Malaysia dan bela nasib rakyat.”
Datuk Seri Anwar berkata kuasa di tangan Kerajaan Perpaduan akan digunakan untuk mengatasi kerosakan selama ini dan memastikan kebangkitan semula Malaysia.
Tambahnya, keserasian antara parti di bawah Kerajaan Perpaduan itu jelas membawa kebaikan kepada rakyat serta prestasi ekonomi negara yang mencapai kadar pertumbuhan 5.6 peratus suku pertama tahun ini.