Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Warga Universiti Malaya (UM) mendakwa terdapat haiwan liar seperti anjing berkeliaran di sekitar kampus sejak beberapa tahun lalu.
Kawasan universiti itu juga dijadikan tempat pembuangan haiwan seperti kucing oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tinjauan Buletin TV3 mendapati banyak kucing berkeliaran di kawasan kampus, termasuk di Kolej Kediaman Ketujuh (Za’ba).
Pada masa sama, pelajar dan kakitangan mendakwa melihat sekumpulan anjing liar berlegar-legar di kawasan asrama.
“Kadang kita duduk sini sampai tengah malam, study, selalu saja tiba2 anjing berlari sekumpulan anjing. Kita pun semua lari juga. Sebab menyalak semua. Memang takut la,” kata Nur Batrisya Nasuha Suhaili, pelajar UM.
“Semasa pelajar cuti, bulan Ogos (tahun lalu) rasanya, memang anjing banyak. Datang waktu malam, dan kita pula tiada di sini, ada kucing tiga empat ekor mati. Memang banyak mati.” dakwa Mohd Azizi Ahmad Jusoh, Pembantu Pejabat UM.
Sementara itu, Ketua Unit UM Guardian, Dr Rizal Mohd Razman mendakwa kawasan kampus sering menjadi tempat pembuangan haiwan oleh orang luar.
UM Guardian ditubuhkan Ogos tahun lalu bagi memantau keselamatan haiwan dalam kampus.
“Saya sendiri telah buat ‘trap neuter release’ ni lebih 200 kucing. Walaupun kita dah mandulkan banyak kucing, masih tambah juga. Jadi kita tahu memang ada orang luar yang buang. Sentiasa ada anak kucing baru, walaupun kita dah mandulkan banyak,” katanya kepada Buletin TV3.
Kawasan kampus seluas 900 ekar selain menjadi laluan awam menyukarkan pihak universiti menangani masalah berkenaan.
Sebagai langkah susulan, UM akan meningkatkan kawalan keselamatan kampus dan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi menguruskan haiwan liar.
“Kita dah mula buat kawalan keselamatan dan meningkatkan pemantauan di sekitar kawasan kampus. Jadi perancangan kehadapan, kita akan ketatkan lagi keselamatan di sekitar kampus,” tegas Prof Ir. Dr. Ramesh Singh Kuldip Singh, Timbalan Naik Canselor (Pembangunan) UM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.