Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) digesa mengeluarkan laporan teknikal bedah siasat ke atas dua bangkai kucing yang disahkan mati angkara serangan haiwan di Universiti Malaya.
Laporan itu bagi meredakan kebimbangan masyarakat khususnya pencinta haiwan yang menuntut penjelasan lanjut berkenaan punca sebenar kematian haiwan berkenaan.
Penganalisis Jenayah Haiwan, Arie Dwi Andika yang ditemui Buletin TV3 di ibu negara, hari ini berkata, penjelasan itu penting bagi menghentikan sebarang tuduhan dan tohmahan terhadap pihak berkuasa dan pengurusan universiti.
“Masyarakat perlukan bukti, minta DVS dengan telus berani memaparkan hasil siasatan supaya dapat dinilai oleh entiti bebas diluar sana seperti veterinar swasta dan sebagainya.
“Saya rasa ia lebih baik untuk kejelasan masyarakat,” katanya.
Tambahnya, laporan tersebut juga boleh menjadi rujukan masa hadapan sekiranya terdapat kes seumpama itu berlaku lagi.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Haiwan Malaysia berkata, pihaknya menerima secara terbuka kenyataan pihak berkuasa seperti polis dan DVS berhubung siasatan kes kematian kucing tersebut.
Bagaimanapun, penjelasan terperinci masih ditagih supaya dapat meyakinkan masyarakat.
Semalam, polis mendedahkan hasil siasatan bedah siasat ke atas dua bangkai kucing yang berlaku di UM pada 20 dan 25 Disember tahun lalu, adalah berpunca daripada serangan haiwan liar.
Anjing masih berlegar, ada serangan baharu
Sementara itu, Buletin TV3 melakukan tinjauan di UM bagi mengesan kehadiran haiwan liar.
Ketika di perpustakaan, kelihatan tiga ekor anjing berlegar di kawasan itu.
Tidak lama kemudian, seorang warga UM mendekati polis bantuan bagi melaporkan kejadian serangan anjing terbaharu yang didakwa berlaku di berdekatan perpustakaan.
Selain itu, kes sama turut didakwa berlaku di Kolej Kediaman Ketujuh Za’ba, awal pagi tadi.
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 4, 2025
Rakaman itu memaparkan sekumpulan anjing menyerang kucing yang dijaga penghuni kolej itu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.