Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Bacaan udara di kawasan yang terjejas akibat kebakaran dan letupan kilang kimia di Taman Perindustrian Kapar Bestari, Selangor petang semalam kembali normal.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, ia selepas Unit Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) melakukan proses untuk meneutralkan tumpahan asid di kilang terbabit.
Pasukan berkenaan juga telah menjalankan pengujian udara terhadap bahan terlibat yang dikenal pasti ‘recycle acid’.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan kawalan keselamatan, termasuk memasang pita penghadang di jalan menuju ke lokasi insiden letupan sebuah kilang kimia di Kawasan Perindustrian Sungai Kapar Indah, hari ini. pic.twitter.com/3kyoUUdTKG
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 20, 2025
“Bacaan udara oksigen sudah normal cuma masih ada bau-bau sikit, bau asid dengan tumpahan asid di lantai kilang. Saya rasa malam ni atau sampai pagi esok selesai lah dari pihak bomba.
“Selepas ni diambil alih oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kontraktor pembersihan ini”, katanya kepada Buletin TV3.
Siasatan lanjut bagi mengenal pasti jumlah kerugian masih dijalankan memandangkan kesan insiden turut menjejaskan beberapa kilang berhampiran.
Punca utama insiden sedang disiasat JAS.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan awal polis mendapati insiden berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di pekarangan sebuah kilang kimia.
Laporan berhubung kebakaran itu diterima bomba pada jam 4.32 petang semalam.
Insiden tidak membabitkan kemalangan jiwa, namun letupan mengejutkan penduduk sekitar selain menyebabkan kepulan asap tebal, selain menggegarkan kediaman dan premis berhampiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.