PASIR GUDANG: “Kami penduduk Kampung Perigi Acheh rasa seperti anak tiri walaupun memang Johor ini negeri kelahiran kami,” kata Anisah Ibrahim, 58 yang sudah menetap di kampung itu sejak 32 tahun lalu.
Anisah bersama lebih 600 penduduk kampung meluahkan rasa sedih apabila kemudahan infrastuktur seperti jalan keluar dan masuk ke kampung itu masih menggunakan tanah merah dan berlopak.
Katanya keadaan menjadi semakin buruk ketika hujan lebat hingga boleh mengakibatkan jalan itu menjadi berselut dan tidak dapat dilalui kenderaan.
“Sebelum ini kemudahan infrastuktur terutama jalan baik sahaja, namun akibat projek jambatan ke kampung ini yang telah mula dibina sejak Julai lima tahun lalu (2019), jalan masuk ke kampung ini rosak teruk,” kata Anisah.
Lebih merumitkan keadaan apabila pandemik Covid-19 melanda dan berlaku pula kejadian runtuhan membabitkan sebahagian struktur jambatan servis utiliti yang terletak di sebelah jambatan baru Kampung Pergi Acheh pada 17 Ogos lalu.
Tambahnya, minggu lalu dalam tempoh tiga hari lebih 10 buah kereta milik penduduk kampung yang terpaksa keluar bekerja rosak.
Menurut Anisah, tidak tahan dengan keadaan jalan yang teruk berlubang, penduduk kampung dengan Ahli Jawatankuasa Kampung dan Ahli Jawatankuasa Masjid berpakat menyumbang wang untuk menurap jalan dengan membeli batu ‘milling’ (proses menurap jalan) sebanyak hampir satu tan.
“Sedih sangat, jalan rosak. Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Perigi Acheh yang dijanjikan pun tidak nampak bayang akan dibaikpulih atau diganti. Itu belum cerita keadaan padang bola yang hanya tanah dan berlopak ketika hujan,” katanya.
Anisah berharap kedatangan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melawat ke kampung berkenaan kelmarin dapat menunaikan janji menyelesaikan masalah jalan sebelum bulan Ramadan.
Sementara itu, pesara, Abu Sidek Usol, 65, berkata dia juga kecewa apabila kerja membina jambatan baru itu telah terhenti sepenuhnya dan tiada tanda-tanda untuk disambung semula.
“Susah kami satu kampung, jalan utama rosak, ditambah dengan sekolah yang ada dalam kampung (SK Kampung Perigi Acheh) tidak boleh digunakan kerana reput akibat anai-anai,” katanya.
Onn Hafiz dalam lawatannya itu memaklumkan isu jambatan Kampung Perigi Acheh di sini ibarat melepaskan batuk di tangga.
Katanya, beliau amat kesal dengan perkembangan pembinaan jambatan yang tidak mengikut garis masa yang sepatutnya serta pihak kontraktor yang tidak bertanggungjawab.
Beliau mengesahkan telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mencari solusi terbaik dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin.
Katanya, kerja menaik aras dan menurap semula jalan di bahagian bawah akan dimulakan segera dan dijangka memberi keselesaan dan melancarkan pergerakan keluar masuk penduduk kampung di kawasan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.